VFive Group mengorak langkah strategik, perkukuh kedudukan - Utusan Malaysia

VFive Group mengorak langkah strategik, perkukuh kedudukan

SYAFIQ Abdullah menyampaikan plak penghargaan kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada majlis Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2025 baru-baru ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat milikan penuh bumiputera, VFive Group Sdn. Bhd. mengorak langkah strategik dalam memperkukuh kedudukan sebagai salah satu peneraju industri pengurusan fasiliti (FM) dan pembinaan dengan menggabungkan kecanggihan teknologi pintar serta aspek inovasi yang menyokong agenda Environmental, Social & Governance (ESG) dalam pelaksanaan perkhidmatan.

Pengaplikasian elemen-elemen itu diperkenalkan secara lebih komprehensif melalui penyertaan VFive Group di Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2025 anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang berlangsung di Persada Johor International Convention Centre baru-baru ini.

Antara fokus utama termasuklah pengenalan sistem Smart FM iaitu satu model pengurusan berteraskan digital, analitik dan integrasi data yang dirangka untuk mentransformasikan kecekapan operasi.

Model berkenaan menggunakan aplikasi V-ROSE (Real-time Organisational Solution Engagement) iaitu perisian Computerised Maintenance Management System (CMMS) yang dibangunkan oleh tenaga pakar tempatan dan mematuhi sepenuhnya spesifikasi JKR serta Dasar Keselamatan ICT (DKICT).

Melalui pendekatan Smart FM, setiap aduan daripada pelanggan dipantau dan seterusnya
diintegrasikan secara proses automasi bagi memastikan tindakan penyelenggaraan melibatkan aset, utiliti, sisa buangan dan sebagainya ditangani dengan pantas dan efisien.

Keberkesanan model tersebut dapat dilihat melalui impak positif yang diterima melibatkan projek semasa termasuklah pengurusan fasiliti di Bangunan Sultan Iskandar, kuarters kerajaan persekutuan di Presint 10 dan 14 serta Blok E4/5 Presint 1, Putrajaya di mana maklum balas pelanggan menunjukkan tahap kepuasan yang amat memberangsangkan hasil kecekapan pasukan teknikal syarikat.

Pengarah Urusan Kumpulan VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, penambahbaikan berterusan adalah teras kepada strategi syarikat untuk memberikan perkhidmatan terbaik sekali gus memperkukuh keupayaan syarikat dalam menembusi landskap pasaran semakin kompetitif.

“Dalam dunia digital yang dipacu automasi, robotik dan kecerdasan buatan (AI), teknologi
sentiasa berkembang dengan laju. Sebagai pemain industri, kami perlu sentiasa berada dua atau tiga langkah ke hadapan dan proaktif mengambil pendekatan yang menggabungkan transformasi teknologi dengan kecekapan operasi bagi memberikan nilai tambah luar biasa kepada pelanggan.

“Penyertaan VFive Group di HPTN 2025 adalah bukti komitmen syarikat dan peranan signifikan yang dimainkan dalam memacu industri FM dan pembinaan ke arah ekosistem lebih pintar, mampan dan berdaya saing,” katanya.

Katanya, penyertaan VFive Group di HPTN 2025 juga mencipta tarikan tersendiri apabila reruai pameran syarikat menerima lawatan rasmi daripada barisan kepimpinan tertinggi Kementerian Kerja Raya sekali gus mencerminkan simbolik pengiktirafan terhadap kredibiliti VFive Group sebagai peneraju dan penyedia solusi teknologi pembinaan pintar tempatan.

Antara yang hadir mengadakan lawatan ke reruai VFive Group ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Kerja Raya, Datuk Seri Azman Ibrahim,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×