30 peratus peniaga kecil Johor dijangka gulung tikar - Utusan Malaysia

30 peratus peniaga kecil Johor dijangka gulung tikar

Muhammed Farhan Basheer
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dianggarkan kira-kira 30 peratus daripada lebih 40,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini berdepan risiko gulung tikar ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pemangku Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Johor, Muhammed Farhan Basheer berkata, hal itu kerana majoriti daripada mereka telah kehilangan punca pendapatan sejak pelaksanaan PKP pertama, tahun lalu.

Jelasnya, walaupun segelintir daripada mereka telah berusaha dengan beralih arah kepada perniagaan lain, situasinya masih sama.

“Jika mereka mampu bertahan sekalipun, ia mungkin hanya untuk tempoh beberapa bulan sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sehubungan itu, pihaknya berharap bantuan seperti moratorium secara automatik selama enam bulan selain pengecualian pembayaran penalti cukai dapat diberi dengan segera.

“Kami juga sedia bekerjasama bagi memastikan bantuan berkenaan sampai kepada golongan sasar.

“Selain agensi kerajaan seperti Tekun dan Mara, DPMM juga mempunyai senarai data terkini golongan peniaga kecil-kecilan yang layak mendapat bantuan kerajaan khususnya dalam tempoh sukar ketika ini,” ujarnya.

Muhammed Farhan turut meminta kerajaan meningkatkan tahap penguasaan terhadap majikan yang menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam usaha memutuskan rantaian wabak ketika ini kerana mereka tidak mendapat sokongan kesihatan sewajarnya bagi membendung wabak Covid-19.

NOR AKMAL MUHAMMAD

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Belia Bintang Selatan Johor Bahru, Nor Akmal Muhammad turut berharap kerajaan akan dapat memberi lebih tumpuan kepada golongan peniaga yang rata-rata terdiri daripada masyarakat B40.

“Dalam tempoh pelaksanaan PKP 3.0 ini, bantuan berbentuk kewangan adalah yang paling efektif kerana ketika ini pendapatan mereka terjejas akibat situasi semasa yang sangat mencabar.

“Namun kerajaan perlu memikirkan kaedah terbaik untuk memastikan bantuan disediakan benar-benar diterima mereka yang layak akibat terjejas perniagaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×