KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengakui keengganan sebahagian pegawai perubatan menerima penempatan khususnya di pedalaman Sarawak memberi kesan ketara terhadap penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya tahun ini telah menawarkan pelantikan tetap kepada 764 pegawai perubatan kontrak bagi penempatan di Sarawak iaitu jumlah tertinggi berbanding negeri lain.
Katanya, sehingga November 2025, hanya 432 atau 57 peratus pegawai perubatan kontrak melapor diri ke penempatan lantikan tetap di Sarawak.
“Antara cabaran dalam menguruskan penempatan petugas kesihatan adalah kesediaan petugas untuk berkhidmat di mana-mana kawasan termasuk luar bandar dan pedalaman Sarawak.
“Keengganan pegawai perubatan untuk ditempatkan di fasiliti ditetapkan sememangnya memberi kesan kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan terutama di luar bandar dan pedalaman Sarawak,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Negara semalam.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Ibrahim mengenai mekanisme kementerian menangani masalah kekurangan doktor dan pegawai perubatan di Sarawak.
Dzulkefly berkata, pihaknya melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menarik minat petugas berkhidmat di kawasan luar bandar.
“Antara langkah adalah pemberian Bayaran Insentif Penempatan Pakar Perubatan dan Pakar Pergigian di fasiliti kesihatan di Sabah, Sarawak dan Labuan, antara RM500 hingga RM2,500 sebulan bergantung gred.
Katanya, KKM turut menyokong sepenuhnya inisiatif kerajaan negeri Sarawak menawarkan biasiswa kepada anak negeri untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di institusi pengajian tinggi.-UTUSAN











