PETALING JAYA: Ambest Group Berhad (Ambest) menandatangani perjanjian taja jamin dengan Malacca Securities Sdn. Bhd. (Malacca Securities) untuk tawaran awam permulaannya (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities) pada suku pertama 2026.
IPO itu merangkumi terbitan awam sebanyak 110 juta saham biasa baharu dan tawaran untuk jualan 40.95 juta saham sedia ada.
Selaras dengan perjanjian, Malacca Securities akan menaja jamin 38.25 juta saham terbitan, meliputi 25.5 juta saham untuk Orang Awam Malaysia serta 12.75 juta saham untuk Individu Layak.
Pengarah Urusan Ambest, Tan Beng Beng berkata, dengan termeterainya Perjanjian Pengunderaitan itu, kumpulan melangkah ke fasa penting dalam perjalanan IPO.
“Ini sekali gus mengukuhkan komitmen kami untuk meningkatkan keupayaan Ambest ke tahap pertumbuhan seterusnya.
“Sepanjang lebih sedekad dalam industri semikonduktor, kami telah membina reputasi kukuh sebagai penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan yang dipercayai serta menekankan ketepatan, konsistensi dan kemajuan teknologi.
“Kami telah memperkukuh kebolehpercayaan operasi sambil memenuhi keperluan teknikal pelanggan yang semakin meningkat, sekali gus membolehkan kumpulan mencipta nilai jangka panjang untuk pelanggan dan para pemegang kepentingan.
“Ini disokong oleh Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015 dan pensijilan baharu Sistem Pengurusan Alam Sekitar ISO 14001:2015, bersama barisan mesin CNC yang sentiasa dipertingkat dan pasukan kepimpinan berpengalaman,” katanya dalam kenyataan.
Ambest memberi tumpuan utama kepada pelanggan dalam industri semikonduktor yang memerlukan kejuruteraan berketepatan tinggi.
Kumpulan itu mengkhusus dalam pemesinan ketepatan tinggi untuk bahagian dan komponen tersuai yang memerlukan ketepatan toleransi yang ketat, disokong oleh keupayaan menyeluruh dalam kerja-kerja mengisar.
Ambest juga menjalankan fabrikasi kepingan logam melalui subkontraktor pihak ketiga yang dipilih berdasarkan keupayaan, kualiti, harga dan prestasi penghantaran.
Dalam pada itu, kumpulan merancang untuk menggunakan sebahagian daripada hasil IPO bagi tujuan pembayaran balik pinjaman.
Sebahagian lagi akan digunakan untuk pembelian mesin baharu, termasuk mesin CNC 5-axis untuk pemotongan pelbagai arah serentak dan mesin CNC mendatar yang direka untuk pemesinan berketepatan tinggi bagi komponen lebih besar atau kompleks.
Pelaburan itu penting bagi memastikan Ambest kekal kompetitif, meningkatkan kecekapan pembuatan serta menunjukkan keupayaan teknikal yang kukuh bagi mendapatkan tempahan lebih tinggi dan lebih canggih daripada pelanggan.
Selain itu, sebahagian hasil IPO akan digunakan untuk modal kerja am bagi menyokong perolehan bahan mentah, perbelanjaan operasi dan aktiviti harian.
Baki hasil akan digunakan untuk menampung kos berkaitan penyenaraian.
Malacca Securities bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja jamin dan Ejen Penempatan untuk proses itu, manakala WYNCORP Advisory Sdn. Bhd. pula merupakan Penasihat Kewangan Korporat bagi IPO Ambest. – UTUSAN










