Malaysia-UK bekerjasama kurangkan pelepasan karbon

Malaysia-UK bekerjasama kurangkan pelepasan karbon

JOHARI Abdul Ghani menyampaikan ucapan ketika majlis pelancaran UK Partnering for Accelerated Climate Transitions (UK PACT) 2.0 di Double Tree Hilton Kuala Lumpur. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sektor minyak sawit di negara ini berada dalam kedudukan kukuh untuk menyertai pasaran karbon selepas melaksanakan amalan kemampanan dan ekonomi kitaran di seluruh rantaian nilainya. 

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, setakat ini kerajaan telah memperkenalkan langkah-langkah untuk mengurangkan pelepasan di peringkat industri, termasuk usaha membendung pembalakan dan penebangan hutan.

“Bagi sektor minyak sawit, saya telah mengarahkan serta-merta agar tiada aktiviti penebangan hutan dilakukan sebagai sebahagian daripada komitmen kemampanan kita, memandangkan sektor ini merupakan antara penyumbang utama ekonomi negara. 

“Kita mahu memastikan bahawa minyak sawit yang kita eksport adalah benar-benar mampan.” katanya ketika menghadiri majlis perasmian Kerjasama Mempercepatkan Peralihan Iklim (UK PACT) 2.0 di sini semalam. 

Bagi sektor minyak sawit seperti pembuatan, Malaysia boleh menggalakkan penerimaan yang lebih meluas terhadap tenaga solar sebagai sebahagian daripada campuran tenaga keseluruhan.

Johari  yang juga Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, Malaysia akan terus bekerjasama dengan UK PACT 2.0. dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon 

Katanya, kerjasama sebahagian daripada pendekatan kerajaan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar serta memenuhi komitmen pengurangan gas rumah hijau.

“Kerjasama ini bakal menyediakan sokongan bersasar dalam bidang yang penting untuk peralihan iklim Malaysia khususnya kewangan hijau dan pasaran karbon.

“Malaysia terlibat secara aktif dalam usaha antarabangsa berkaitan iklim dan kita sudah membuat komitmen untuk menurunkan pelepasan karbon. Menjelang 2035, kita menjangka pengurangan yang ketara,” katanya.

Antara bidang tumpuan UK PACT 2.0 ialah meningkatkan kapasiti Malaysia untuk mengendalikan skim perdagangan pelepasan domestik serta membuat persediaan bagi pelancaran mekanisme Forest Carbon Offset (FCO) oleh Malaysia Forest Fund (MFF).

Dalam pada itu, Johari berkata semua sektor ekonomi perlu mengambil bahagian dalam usaha tersebut, termasuk mencari kaedah yang dapat mengehadkan pelepasan gas rumah hijau walaupun negara terus berkembang.

Katanya, kerajaan kini memberi tumpuan memperluas amalan rendah karbon dalam aktiviti ekonomi bagi memastikan kesejahteraan dan kelestarian negara dapat dipelihara.

Menurutnya, Malaysia telah menetapkan sasaran mengurangkan antara 20 hingga 30 juta tan metrik karbon melalui beberapa strategi, termasuk perubahan besar dalam sektor tenaga.

“Kita mensasarkan 70 peratus tenaga negara pada 2050 datang daripada sumber boleh diperbaharui. Industri berat seperti besi, keluli dan simen juga perlu melabur dalam teknologi yang mampu mengurangkan pelepasan karbon kerana mereka adalah penyumbang utama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×