Gaza: Birokrasi ketat rencatkan bantuan

Gaza: Birokrasi ketat rencatkan bantuan

Seorang ibu menghantar anak-anaknya ke sekolah menaiki kereta kuda di Deir al-Balad, tengah Gaza di sebalik kegagalan gencatan senjata yang dipersetujui 10 Oktober lalu, ekoran pencabulan oleh tentera zionis. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekangan birokrasi yang ketat dan tidak konsisten merencatkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza walaupun pelbagai lintasan sempadan dilaporkan telah beroperasi.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, situasi di lapangan menunjukkan operasi pintu masuk seperti Kerem Shalom, Zikim dan Kissufim masih tertakluk kepada kawalan keselamatan melampau, kuota harian dan gangguan operasi.

Katanya, misi pengambilan bantuan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kerem Shalom turut berdepan penafian akses walaupun bergerak di bawah mekanisme pemantauan antarabangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lintasan Rafah yang sebelum ini menjadi nadi utama, sering dikaitkan dengan syarat politik seperti isu tebusan.

“Ditambah pula dengan koridor keselamatan dan pemecahan Gaza kepada zon kawalan tentera, menyukarkan lagi penghantaran bantuan ke kawasan yang paling hancur, terutamanya di utara Gaza,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Azmi berkata, fokus utama Mapim kini terarah kepada penyediaan perlindungan fizikal memandangkan musim hujan dan sejuk sedang bermula.

Katanya, terdapat kekurangan besar dari segi bekalan terpal, khemah, selimut dan pakaian musim sejuk bagi melindungi ratusan ribu pelarian.

“Selain itu, sektor kesihatan terus lumpuh dengan ketiadaan bahan api dan ubat-ubatan. Le­bih menyedihkan, terdapat lebih 16,000 pesakit kronik dan kritikal yang memerlukan rawatan di luar Gaza masih terkandas dan tidak dibenarkan keluar,” katanya.

Tambahnya, kanak-kanak di Gaza kini mengalami trauma berulang dan ketakutan melampau terhadap bunyi kuat manakala keluarga yang kehilangan rumah turut hilang dokumen pengenalan diri serta punca pendapatan.

“Petugas perubatan dan sukarelawan juga dilaporkan berada dalam keadaan keletihan melampau namun terpaksa meneruskan tugas dengan sumber yang sangat terhad.

“Cabaran menyalurkan bantuan bukan sahaja dari sudut logistik seperti jalan yang musnah dan sisa bahan letupan, tetapi juga melibatkan sekatan perbankan antarabangsa yang rumit,” katanya.

Selain itu, beliau turut berkata, pihaknya berdepan cabaran ‘keletihan penderma’ apabila isu ini berpanjangan. Namun, rakyat Malaysia perlu sedar bahawa dana amat diperlukan secara berterusan untuk menampung kos makanan, bahan api hospital dan pendidikan kecemasan.

“Institusi seperti masjid, universiti dan badan korporat perlu memainkan peranan mengangkat Gaza sebagai agenda berterusan melalui tabung khas dan wakaf kemanusiaan bagi memastikan kelangsungan hidup saudara kita di sana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×