BANGKOK: Thailand dan Kemboja tidak lagi menghiraukan Perjanjian Damai Kuala Lumpur dan Perjanjian Gencatan Senjata apabila persengketaan kedua-dua negara berlarutan, semalam.
Pemimpin kedua-dua negara itu juga lantang menyatakan mereka enggan lagi berunding selagi tiada di antara mereka yang mengalah.
Pertempuran yang tercetus sejak Ahad lalu setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh nyawa orang awam di Kemboja dan tiga anggota tentera Thailand.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan ketika ditemui pemberita di Seremban berkata, Thailand dan Kemboja perlu mematuhi Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang ditandangani sebelum ini dengan kembali ke meja rundingan.
Katanya, Artikel 7 perjanjian telah menetapkan bahawa jika berlaku pertempuran sama ada disengajakan atau tidak, kedua-dua pihak mesti kembali ke meja rundingan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul menolak kemungkinan untuk mengadakan rundingan segera dengan Kemboja.
“Dengan apa yang mereka sudah lakukan terhadap kami, tidak akan ada sebarang rundingan. Thailand perlu bertindak supaya mereka sedar bahawa mereka tidak sepatutnya mengancam kedaulatan kami.
“Jika Kemboja mahu pertempuran dihentikan, mereka perlu akur dengan tuntutan kami,” katanya.
Ditanya sama ada beliau sudah berhubung dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atau Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sejak pertempuran terbaharu kembali tercetus, Anutin menjawab tidak, menegaskan ia adalah isu dua hala.
Presiden Senat Kemboja, Hun Sen yang juga bekas Perdana Menteri sehingga 2023 pula berkata, negaranya tidak lagi akan berdiam diri dalam menghadapi tindakan ketenteraan Thailand di sempadan.
Hun Sen berkata, Kemboja sudah menahan diri daripada membalas serangan pada Isnin bagi menghormati gencatan senjata, namun mula melepaskan tembakan balas malam berikutnya selepas situasi semakin memuncak.
“Kemboja sudah menahan diri daripada membalas pada Isnin, tetapi kami tidak akan berdiam diri lagi. Kami sudah mula bertindak balas terhadap serangan Thailand,” katanya.
Katanya, Kemboja sentiasa memilih jalan damai, namun terpaksa bertindak untuk mempertahankan wilayah serta keselamatan rakyatnya.
Sama seperti Kemboja, tentera Thailand juga mahu melumpuhkan keupayaan ketenteraan Kemboja dalam jangka panjang bagi memastikan keselamatan generasi masa depan rakyat negara itu susulan pertempuran terbaharu di sempadan.
Ketua Turus Tentera Thailand, Jeneral Chaiyaphreuk Duangpraphat membuat kenyataan itu selepas pertempuran di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja kembali tercetus sejak Ahad lalu.
“Matlamat tentera Thailand adalah melumpuhkan keupayaan ketenteraan Kemboja dalam tempoh yang panjang, demi keselamatan anak-anak kita,” katanya dipetik Bangkok Post.
Menurut beliau, tentera Thailand turut memusnahkan sebuah kasino dipercayai digunakan sebagai pusat kawalan dron Kemboja.
Pertempuran baharu tercetus pada petang Ahad di daerah Kantharalak, Si Sa Ket, memaksa penduduk berhampiran sempadan di Buri Ram, Surin, Si Sa Ket dan Ubon Ratchathani berpindah ke pusat perlindungan.
Pada Isnin, Pasukan Tugas Burapha Tentera Thailand melancarkan serangan terhadap anggota tentera Kemboja yang didakwa menceroboh wilayah Thailand di wilayah Sa Kaeo.
Tentera Darat Pertama berkata, operasi ketenteraan itu dilancarkan bagi merampas kembali wilayah kedaulatan Thailand di sepanjang sempadan di Sa Kaeo.
Pengumuman itu dibuat hanya beberapa jam selepas pasukan tersebut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga penuh susulan Kemboja yang terus menambah anggota dan kelengkapan ketenteraan di kawasan sempadan.
Menurut pasukan itu, mereka diarahkan oleh Komander Wilayah Tentera 1 untuk bersedia bagi pelaksanaan penugasan tempur penuh ketika Kemboja terus memperkukuh kehadiran tenteranya tanpa henti.
Sebelum ini, serangan sejak Ahad hanya tertumpu di Ubon Ratchathani, Si Sa Ket, Surin dan Buri Ram, yang bersempadan dengan Sa Kaeo.
Keadaan di Sa Kaeo bertambah tegang selepas pasukan keselamatan Thailand memulakan tindakan terhadap penceroboh Kemboja di Ban Nong Chan dan Ban Nong Ya Kaew di daerah Khok Sung. – UTUSAN










