KUALA LUMPUR: Thailand dan Kemboja perlu menandatangani perjanjian secara undang-undang dan mempunyai komitmen politik bagi memastikan pergolakan sempadan yang semakin memuncak dapat diselesaikan segera.
Felo Penyelidik Institut Asia bagi Hal Ehwal dan Diplomasi Antarabangsa (AIIAD), Prof. Madya Dr. Bakri Mat, berkata, tanpa mekanisme penguatkuasaan dan pemantauan serantau, mana-mana perjanjian mudah dilanggar, berikutan kedua-dua negara pernah mempunyai sejarah sengketa sempadan yang panjang, khususnya di sekitar kawasan Kuil Preah Vihear.
Katanya, dalam usaha ini ASEAN perlu memainkan peranan dengan mewujudkan kod tingkah laku sempadan yang jelas dan dipantau bersama, kerana ia lebih praktikal berbanding hanya bergantung kepada gencatan senjata sementara.
“Kita boleh rujuk pengalaman Perjanjian Damai Aceh 2005 yang berjaya menamatkan konflik hampir 30 tahun melalui mekanisme pemantauan antarabangsa.
“Dengan merujuk pengalaman ini, ASEAN boleh mempertimbangkan border code of conduct yang dipantau bersama sebagai satu mekanisme praktikal untuk Thailand dan Kemboja,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan, pergolakan antara Thailand dan Kemboja kembali memuncak apabila tentera Thailand melancarkan serangan udara terhadap Kemboja selepas pertempuran terbaharu tercetus di kawasan sempadan.
Bakri berkata, Malaysia masih mempunyai kredibiliti sebagai pemudah cara dalam konflik serantau termasuk dalam isu sempadan antara Thailand dan Kemboja ini.
“Namun, dalam semangat ASEAN, tanggungjawab itu tidak harus diletakkan pada satu negara sahaja. Sebagai Presiden ASEAN yang baru, Filipina mempunyai tanggungjawab moral dan diplomatik untuk memimpin usaha pendamaian.
“Malaysia boleh memainkan peranan sokongan, antaranya dengan membantu melalui saluran diplomatik, perkongsian pengalaman, dan menegakkan prinsip penyelesaian aman melalui rundingan. Pendekatan bersama ini akan memperlihatkan kesepaduan ASEAN yang lebih kuat,” katanya.
Bakri berkat, insiden berlaku merupakan peringatan terhadap keperluan memperkukuh mekanisme keselamatan kolektif ASEAN.
Jelasnya, konflik seperti yang sedang berlaku ini boleh menjejaskan kredibiliti ASEAN sebagai zon aman dan neutral, oleh itu langkah proaktif perlu diambil dengan menegaskan bahawa keamanan sempadan bukan hanya isu dua negara tetapi isu kestabilan serantau.
“ASEAN boleh mencadangkan atau memudahkan rujukan bersama ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) jika kedua-dua pihak bersetuju. Ini pernah berlaku dalam kes Kuil Preah Vihear dahulu,” katanya. – UTUSAN











