Lebih 400,000 penduduk sempadan Thailand-Kemboja dipindahkan

Lebih 400,000 penduduk sempadan Thailand-Kemboja dipindahkan

PENDUDUK Thailand yang dipindahkan berkumpul di pusat perlindungan sementara susulan pertempuran di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja di wilayah Buriram. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Lebih 400,000 penduduk dari kawasan sempadan Thailand-Kemboja di Sa Kaeo, Si Sa Ket, Ubon Ratchathani, Surin dan Buri Ram sudah dipindahkan selepas roket BM-21 yang dilancarkan Kemboja membedil kawasan kediaman.

Tentera Diraja Thailand berkata, pihaknya bekerjasama dengan agensi awam untuk memindahkan ratusan ribu penduduk dari komuniti berhampiran sempadan, susulan pertempuran terbaharu dan serangan roket ke atas kawasan orang awam.

Pasukan pertahanan mengecam serangan yang menyasarkan zon awam di luar kawasan operasi ketenteraan yang secara langsung mengancam keselamatan fizikal dan emosi penduduk serta memaksa ramai meninggalkan rumah, pekerjaan dan sumber pendapatan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tentera berkata, pihaknya mengarahkan pasukan pertama dan kedua bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa wilayah serta agensi berkaitan untuk mempercepat proses pemindahan dari zon berisiko tinggi ke pusat perlindungan sementara, mengikut pelan pemindahan yang ditetapkan.

“Usaha ini bertujuan memastikan penduduk dipindahkan ke kawasan yang paling selamat dan meminimumkan kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda yang berpunca daripada tindakan tidak wajar pihak Kemboja,” katanya.

Setakat 8 Disember, pemin­dahan di bawah kawasan tentera pertama yang meliputi empat daerah di Sa Kaeo melibatkan 175,807 orang, bersamaan kira-kira 81 peratus daripada jumlah sasaran.

Di bawah kawasan tentera kedua, proses pemindahan me­rangkumi 12 daerah di empat wilayah sempadan di Si Sa Ket, Ubon Ratchathani, Surin dan Buri Ram. Sejumlah 262,409 orang, atau kira-kira 68 peratus daripada sasaran dilaporkan sudah dibawa keluar dari zon bahaya.

Pejabat Kesihatan Awam Sa Kaeo pada Isnin mengumumkan penutupan sementara semua perkhidmatan awam di hospital daerah sempadan Ta Phraya, Khok Sung, Aranyaprather dan Khlong Hat.

Hospital-hospital berkenaan hanya akan menerima kes kecemasan.

Pihak berkuasa wilayah turut mengarahkan penduduk di empat daerah tersebut supaya berpindah ke pusat perlindungan kecemasan demi keselamatan mereka sehingga ketegangan reda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×