Kerajaan digesa mansuh penalti RM10,000 kepada majikan - Utusan Malaysia

Kerajaan digesa mansuh penalti RM10,000 kepada majikan

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa memansuhkan penalti RM10,000 di bawah Seksyen 45F pindaan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) kerana didakwa membebankan majikan.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, penalti RM10,000 bagi setiap pelanggaran boleh menyebabkan jumlah keseluruhan meningkat berkali ganda sekiranya beberapa kekosongan jawatan berlaku dalam tempoh masa berbeza.

“Majikan wajib untuk memaklumkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebarang kekosongan jawatan atau pewujudan jawatan baharu dalam tempoh tujuh hari, dan kegagalan mematuhinya boleh membawa penalti besar.

“Sekiranya ada lima kekosongan jawatan atau pewujudan jawatan baharu yang berlaku dalam masa berlainan dalam tempoh lima minggu, majikan mungkin dikenakan penalti sebanyak RM50,000 sekira gagal mematuhinya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Seksyen 45F itu wajar dimansuhkan apabila pindaan berkenaan dibahaskan di Dewan Negara kerana Dewan Negara mempunyai kuasa untuk membuat pindaan sebelum ia dirujuk kembali kepada Dewan Rakyat.

Guan Eng menyatakan keyakinan bahawa Ahli Parlimen akan bersetuju dengan pemansuhan seksyen berkenaan sekiranya ia dirujuk semula untuk kelulusan.

“Perkeso nampaknya melakukan kesilapan dengan tidak mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum pindaan SIP diluluskan pada 2 Disember 2025.

“Dalam kenyataan bertarikh 4 Disember 2025, Perkeso cuba meredakan kemarahan majikan dengan mengumumkan moratorium penguatkuasaan selama dua tahun dan menjamin penguatkuasaan penalti sebanyak RM10,000 hanya akan dilaksanakan selepas sesi libat urus dijalankan dengan wakil majikan dan pihak berkepentingan,” katanya.

Guan Eng turut mempersoalkan tindakan Perkeso yang hanya merancang mengadakan libat urus selepas pindaan diluluskan walaupun Ahli Parlimen Kerajaan sebelum ini beranggapan sesi libat urus sudah dibuat sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Soalannya ialah, mengapa Perkeso hanya bercadang membuat libat urus pada 4 Disember 2025 selepas pindaan SIP diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 2 Disember 2025 dan bukan sebelum 2 Disember 2025.

“Moratorium dua tahun ini tidak bermakna langsung kerana akhirnya penalti RM10,000 akan dikuatkuasakan juga.

“Kenyataan Perkeso bertarikh 4 Disember 2025 ini mengejutkan kerana tanggapan Ahli Parlimen Kerajaan selama ini ialah bahawa Perkeso telah menjalankan libat urus dan mendapat persetujuan pemegang taruh sebelum ia dibentangkan dan diluluskan dalam Majlis Dewan Rakyat pada 2 Disember 2025,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu mencemarkan proses kelulusan pindaan SIP dan perlu diperbetulkan dengan memansuhkan Seksyen 45F atau memastikan perusahaan kecil dan sederhana (SME) dikecualikan, manakala penalti bagi syarikat bukan SME dikurangkan kepada RM100 sahaja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×