JKR tidak pernah alih penghadang keselamatan

JKR tidak pernah alih penghadang keselamatan

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak pernah mengalihkan penghadang keselamatan di lokasi insiden sebuah kenderaan utilities sukan (SUV) terjunam ke dalam gaung di Kuala Berang, Terengganu se­perti dakwaan penduduk setempat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jika benar terdapat penghadang yang dialihkan, tindakan itu bukan dilakukan oleh JKR yang sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP), khususnya di kawasan cerun atau lokasi berisiko runtuhan.

“Jika benar dialihkan, ia bukan dilakukan oleh JKR. Kita sentiasa ikut SOP, terutama di lokasi yang mempunyai isu cerun atau keruntuhan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Langkah keselamatan memang kita ambil. Jadi, kalau dakwaan itu betul, kita perlu tahu siapa yang mengalihkan barrier tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya bersama Perdana Menteri di sini, semalam.

Menurut beliau, siasatan sedang dijalankan dan ia merupakan prosedur standard setiap kali berlaku kejadian melibatkan keselamatan jalan raya.

“Pasukan kita turun ke lokasi dan membuat pemeriksaan mengikut SOP JKR. Buat masa ini, kita belum tahu punca sebenar,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan.

“Jika ada sesiapa yang tahu, maklumkan kepada kita. Kita juga ada bilik gerakan bencana bagi memantau cerun, banjir dan semua faktor yang boleh menyebabkan kerosakan jalan atau mengancam keselamatan pengguna,” katanya.

Jumaat lalu, media melaporkan sebuah Toyota Fortuner yang dinaiki seorang guru, Hassan Shazali, 52, dan Suzaimah Che Azis, 34, terjunam ke dalam gaung kira-kira pukul 5.30 petang di lokasi tanah runtuh KM52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah) di Kuala Berang, Terengganu

Kemalangan tersebut menyebabkan kedua-duanya me­ninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×