KUALA LUMPUR: Kerajaan dan politik negara kembali stabil selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berlangsung pada November 2022.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa tahun sebelum ini negara menyaksikan keadaan politik negara yang terumbang-ambing.
“Sekarang tiga tahun, kerajaan dan politik negara stabil, Alhamdulillah. Walaupun biasalah ada (sesetengah) ahli politik yang mengusik, jangan runsing bab itu, saya pun tidak runsingkan sangat. Hari-hari cakap Anwar turun, sekejap lagi saya turun (pentas).
“Alhamdulilah kita (kerajaan) dapat mencatat tentang pertumbuhan (ekonomi) 3.2 peratus, pengangguran tiga peratus, kemiskinan tegar 0.09 peratus (dan) pelaburan tertinggi di dalam sejarah. Semuanya okay, semua ikuti (pelan),” katanya dalam Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Kerja Raya (KKR) di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kestabilan itu perlu dimanfaatkan dengan membuat program-program yang jelas dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Setelah setahun (menjadi kerajaan) mungkin sukar tetapi tiga tahun, orang boleh membuat ukuran,” katanya. – UTUSAN










