PETALING JAYA: Pertandingan Mut Perundangan Angkasa 2025 (PMPA 2025) anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menyasarkan sumbangan satu peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam sektor industri angkasa selari dengan Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030).
Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Datuk Ruziah Shafei berkata, program tersebut juga dilihat sebagai langkah awal penjenamaan Malaysia sebagai hab serantau tadbir urus angkasa dengan pembangunan sebanyak 5,000 tenaga pakar.
Beliau berkata, Mosti berusaha dalam memperkasa perkara berkaitan penguatkuasaan undang-undang angkasa di negara ini selepas pelaksanaan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834], kelulusan Garis Panduan Siasatan Kemalangan Objek Angkasa serta penyertaan negara dalam triti angkasa PBB seperti OST 1967 dan REG 1975.
“Masih ramai yang tidak mengetahui mengenai Akta 834. Jadi dengan adanya PMPA 2025 ini, ia dapat memberi pendedahan kepada pelajar pada masa akan datang untuk menjadi peguam dan pakar dalam bidang ini.
“Apatah lagi, sekiranya ada insiden serpihan satelit jatuh di negara ini di saat peningkatan aktiviti satelit global yang memerlukan tuntutan perundangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebanyak 12 pasukan daripada sembilan institusi pengajian tinggi (IPT) menyertai pertandingan anjuran Mosti dengan kerjasama USIM dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM)
dengan johan disandang Universiti Malaya (UM) manakala tempat kedua dimenangi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Antara program yang diadakan sepanjang PMPA 2025 termasuk webinar, podcast ilmiah dan sesi temubual eksklusif bersama Menteri.
Dalam pada itu, Ruziah berharap PMPA 2025 berperanan sebagai platform strategik melahirkan peguam angkasa pada masa depan yang berupaya membawa suara Malaysia di peringkat antarabangsa termasuk dalam Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penggunaan Angkasa Lepas Secara Aman (COPUOS) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). – UTUSAN










