Mukadimah
PMB Investment Berhad (PMB Investment) mengorak langkah strategik apabila melantik Hang Tuah Amin Tajudin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu, berkuat kuasa 7 September 2025 setelah menerima kelulusan yang sewajarnya.
Pelantikan Hang Tuah, yang terlebih dahulu memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (Dilantik) sejak 1 Ogos 2025, dilihat mampu memperkukuh hala tuju syarikat berasaskan kepakaran beliau sebagai pemegang Penganalisis Kewangan Bertauliah (CFA), memiliki Diploma CIMA dalam Kewangan Islam serta lesen sebagai Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal.
Pelantikan itu turut seiring dengan perancangan Pelan Strategik 2026 yang menumpukan transformasi, inovasi dan pertumbuhan bagi mengukuhkan kedudukan PMB Investment di pasaran pelaburan negara.
Wartawan Utusan Malaysia, Zakkina Wati Ahmad Tarmizi berpeluang menemubual Hang Tuah bagi mengupas lebih lanjut strategi pertumbuhan syarikat itu.
UTUSAN: Apakah fokus utama PMB Investment di bawah kepimpinan baharu ini, sama ada lebih kepada prestasi dana atau penjenamaan?
HANG TUAH: PMB Investment menegaskan tumpuanstrategiknya merangkumi usaha memperkukuh prestasi dana bagi memastikan setiap portfolio terus mengatasi penanda aras yang ditetapkan.
Pihak kami juga sedang memperhebat inisiatif penjenamaan bagi mengukuhkan kedudukan PMB Investment sebagai nama yang sinonim dengan pelaburan patuh syariah di negara ini.
Dalam pada itu, fokus terhadap pertumbuhan melalui pendigitalan diberi keutamaan, termasuk penggunaan teknologi baharu bagi memudahkan urusan pelaburan khususnya dalam kalangan generasi muda Malaysia.
Kami turut menekankan usaha memperkukuh perniagaan mandat persendirian serta mempelopori inovasi produk patuh syariah baharu, merangkumi instrumen berteraskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta aset alternatif bagi memenuhi keperluan serta trend pelaburan masa kini.
PMB Investment memenangi sembilan anugerah dalam LSEG Lipper Fund Awards tahun ini, dengan PMB Shariah Equity Fund mencatatkan pulangan 187.17 peratus dalam tempoh lima tahun.
Apa kelebihan utama PMB Investment berbanding pesaing lain?
Kekuatan kami terletak pada konsistensi, disiplin, ilmu dan pengalaman dalam mengurus pelaburan patuh syariah. Pulangan 187.17 peratus itu bukan hasil pelaburan secara rambang tetapi berpunca daripada pemilihan saham yang berdisiplin, tumpuan kepada sektor pertumbuhan seperti teknologi dan pengguna serta asas sukuk yang kukuh sebagai pelindung.
Sebagai sebahagian daripada Pelaburan MARA, kami membawa mandat unik, mengimbangi prestasi dengan pembangunan negara.
Misi dua hala ini memastikan kami berfokus kepada penciptaan nilai jangka panjang, bukan keuntungan jangka pendek.
Tidak seperti pesaing besar, kami lebih tangkas, dekat dengan pasaran dan mampu merebut peluang dalam syarikat kecil serta sederhana sambil mengekalkan tadbir urus dan pengurusan risiko yang kukuh.
Walaupun mempunyai rekod cemerlang dan aset di bawah pengurusan (AUM) berjumlah RM1.5 bilion, adakah PMB Investment masih kurang dikenali pelabur runcit berbanding pesaing lain?
Ya, itu pemerhatian yang tepat. Secara tradisinya, PMB Investment lebih memberi tumpuan kepada pelanggan institusi dan berkaitan MARA, dengan kurang penekanan terhadap penjenamaan runcit.
Kebanyakan rakyat Malaysia lebih mengenali pemain besar kerana penekanan mereka dalam bahagian pemasaran.
Namun, saya melihat ini sebagai peluang. Prestasi kami sudah membuktikan kemampuan dan kini kami sedang memperkukuh kehadiran di pasaran runcit, memperluas saluran pemasaran memperbaharui identiti jenama dan menjadikan produk kami lebih mudah diakses oleh pelaburyang mahukan pulangan kompetitif berlandaskan syariah.
Industri pengurusan dana sangat kompetitif. Apakah strategi anda untuk menonjolkan identiti unik PMB Investment dan apakah halangan terbesar setakat ini?
Identiti unik kami ialah pengalaman di bidang syariah dan prestasi berkredibiliti. Kami bukan sekadar entiti pelaburansyariah, kami terbukti sebagai pengurus dana berprestasi dan anugerah yang diterima mengesahkannya.
Cabaran terbesar kami ialah kesedaran pasaran. Walaupun prestasi kukuh, jika orang ramai tidak mengenali kami, ia tidak akan diterjemahkan kepada pertumbuhan AUM.
Oleh itu, tumpuan kini diberikan kepada strategi pemasaran, perkongsian strategik dan pengukuhan kehadiran digital.
PMB Investment bakal memperkenalkan Pelan Strategik 2026. Boleh kongsikan tema utama dan hala tuju pertumbuhan masa depan syarikat?
Pelan Strategik 2026 berteraskan transformasi dan pertumbuhan, menjadikan PMB Investment lebih kukuh, inovatif dan dekat dengan pelabur.
Empat tonggak utama ialah skala AUM: Sasaran RM3 bilion hingga RM4 bilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun melalui peluasan pasaran runcit, mandat persendirian dan strategi dana baharu.
Selain itu, inovasi produk iaitu meluaskan tawaran pelaburan patuh syariah termasuk instrumen kredit persendirian seperti instrumen penerimaan dan nota pelaburan Murabahah serta pelaburan berasaskan kredit karbon yang menyokong aspirasi ESG dan pasaran karbon Malaysia.
Pendigitalan juga menjadikan pelaburan lebih mudah diakses melalui aplikasi dan portal dalam talian, khususnya bagi pelabur muda celik digital.
Jenama dan kepercayaan menjadikan PMB Investment nama dipercayai dalam pelaburan patuh syariah, telus, progresif dan berwawasan.
Pelan 2026 kami mudah iaitu berkembang lebih besar, berinovasi lebih pantas dan mendekati pelabur dengan lebih rapat.
Dengan kemunculan bank digital dan aset tokenisasi, sejauh mana pendigitalan penting dalam pertumbuhan AUM PMB Investment?
Pendigitalan kini bukan lagi pilihan, sebaliknya menjadi keperluan utama kerana pelabur masa kini menuntut pengalaman pelaburan yang lebih mudah, cepat dan berasaskan mudah alih.
Aplikasi mesra pengguna, proses pendaftaran mudah serta kerjasama dengan bank digital amat penting untuk memperluas capaian pelabur runcit.
Selain itu, pendigitalan juga bermakna penggunaan analitik data dan kecerdasan buatan (AI) untuk memperkukuhkan pelaburan, pengurusan risiko dan pemahaman tingkah laku pelanggan.
Namun, strategi kami kekal seimbang, prestasi dan sumber manusia tetap menjadi teras perniagaan. – UTUSAN











