Perlu pendekatan baharu tangani gejala sosial remaja

Perlu pendekatan baharu tangani gejala sosial remaja

DENGAN adanya media sosial yang susah untuk dikawal, anak-anak kita mudah terpengaruh dengan budaya Barat seperti hedonisme dan pornografi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEGARA kita digemparkan dengan pelbagai isu gejala sosial remaja yang semakin membimbangkan, yang menghiasi skrin telefon bimbit rakyat Malaysia.

Apa yang muncul di media sosial hanyalah sekelumit kecil daripada realiti sebenar yang jauh lebih teruk dan mengerikan.

Siapa tahu berapa banyak lagi jenayah dan perilaku tidak bermoral berlaku di sekeliling kita tanpa disedari?

Maka persoalan yang saya ingin ketengahkan di sini adalah, adakah gejala sosial remaja zaman sekarang berpunca dari kefahaman agama dan akidah yang hanya menjadi hegemoni dalam masyarakat kita?

Hegemoni Akidah dan Celah Moral
Hegemoni akidah yang ingin saya ketengahkan disini merujuk kepada situasi apabila agama hanya menjadi norma dan bukannya tunjang kehidupan.

Dominasi akidah terhadap sesuatu kawasan menjadikan masyarakat menerimanya secara membuta tuli tanpa mempersoal dan mengkaji tentang agamanya sendiri membawa kepada penghayatan keagamaan yang sangat dhaif.

Pembuktian empirikal mendapati apabila akidah sesuatu masyarakat terbina atas dasar tradisi dan adat setempat, maka kita akan melihat penghayatan dalaman yang rosak, makin menular.

Firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah (2) yang maksudnya “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”.

Al-’Alim asy-Syeikh ’Atha’ bin Khalil telah menuturkan, “Maka kata as-silm dalam ayat ini adalah Al-Islam, sebagaimana ditafsirkan oleh Ibn ‘Abbas RA dan maksudnya adalah keseluruhan ajaran al-Islam yakni beriman terhadapnya tanpa pengecualian dan mengamalkan seluruh syariatnya tanpa yang lainnya”.

Mudah kata, Islam menuntut kita untuk beragama secara holistik tanpa mengecualikan sedikit pun dan bukan hanya separuh jalan.

Konsep kehidupan beragama secara holistik dan menolak sekularisme menjadi titik penting yang harus dipegang oleh setiap umat Islam dulu kini dan selamanya.

Namun apabila hal ini gagal difahami, diselami, dan dididik dalam diri anak-anak remaja sekarang maka terciptalah “celah moral” yang menyumbang kepada gejala sosial remaja yang semakin tidak boleh dikawal.

Remaja yang sering terdedah kepada pengaruh media sosial dan pornografi mungkin kehilangan benteng moral apabila nilai agama tidak diimani dengan mendalam.

Contohnya, kes rogol berkumpulan di Baling, Kedah, melibatkan empat remaja berusia 15 hingga 17 tahun yang merogol pelajar perempuan 15 tahun di kelas sekolah dan ladang sawit, dengan video lucah tersebar di media sosial.

Begitu juga di Alor Gajah, Melaka, dua remaja 17 tahun didakwa atas kes serupa, dengan salah seorang mengaku bersalah.

Selain itu, dua lelaki yang mempunyai rekod jenayah lampau antara empat individu yang ditahan selepas didapati menyerang remaja lelaki dalam kejadian di gelanggang bola keranjang, Kampung Paya.

Punca
Masyarakat kita sering diajar untuk beragama secara ritual seperti solat dan puasa sehingga kita kurang mengambil berat tentang makna dan roh ibadah itu sendiri.

Kita lebih fokus untuk mengajar zahir ibadah sehinggakan kita lupa bahawa di sana ada batin ibadah yang perlu kita jaga dan hayati.

Tidak salah untuk kita mengajarkan anak kita tentang ibadah pada awalnya dengan memfokuskan kepada zahir ibadah akan tetapi yang lebih penting adalah mendidik hati agar memahami erti sebenar ibadah.

Tanpa itu, masyarakat kita hanya beribadah pada anggota sahaja tetapi tidak menghadirkan hati ketika beribadah.

Lebih menakutkan lagi dan merisaukan adalah apabila agama dilihat sebagai primordialisme iaitu tradisi nenek moyang semata-mata dan bukannya jalan pencerahan rohani.

Tidak terhenti setakat itu, dengan adanya media sosial yang susah untuk dikawal, anak-anak kita mudah terpengaruh dengan budaya Barat seperti hedonisme dan pornografi.

Maka timbul persoalan, masih relevankah kita memandang ke Barat sedangkan nilai mereka kian merosakkan akar agama dan budaya kita sendiri?

Maka, kita hanya boleh menangani masalah ini dengan kembali kepada akar umbi permasalahan.

Hanya dengan kita memperkukuhkan pendidikan agama dari kecil dengan memberi fokus kepada zahir dan batin agama barulah dapat kita meningkatkan penghayatan dan pemahaman generasi muda terhadap kehidupan beragama.

Gerakan dakwah juga perlu diperbanyakkan di media sosial agar dapat menangani arus negatif dan fahaman songsang yang cuba menyelinap dalam minda anak-anak kita.

Kesimpulannya, benar apabila agama mendominasi sebuah masyarakat, nampaknya seperti kita hidup beragama. Namun, adakah cukup hanya “beragama” tanpa memahami makna disebaliknya?

Kita perlu sedar bahawa agama bukan sekadar simbol semata, bahkan ia merupakan tatacara dan susunan kehidupan yang perlu dihidupkan sepenuhnya. Cukupkah setakat kita hidup seolah-olah beragama dan mula untuk memakai agama seperti pakaian yang menutupi tubuh? – UTUSAN

PENULIS ialah Mahasiswa Tahun Tiga di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×