Macam-macam sambal ada di Ayam Sambal Hejau

Macam-macam sambal ada di Ayam Sambal Hejau

Set nasi ayam sambal hijau dan sengkuang calit yang menjadi taruhan di restoran Ayam Sambal Hejau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jika anda peminat sambal hijau, kini ada tempat baharu yang semakin memikat perhatian pecinta makanan, Ayam Sambal Hejau yang terletak di Denai Alam, Shah Alam.

Uniknya, sambal di sini membawa twist rasa Malaysia yang membezakan mereka daripada jenama ayam geprek atau ayam gepuk yang semakin banyak bercambah di Lembah Klang.

Kedai makan tersebut mula menarik perhatian kerana menampilkan kelainan pada sambal hijaunya yang disediakan dalam dua jenis mengikut tahap kepedasan.

Menurut pengusahanya, sambal gesek yang lebih pedas menjadi pilihan penggemar rasa menyengat, manakala sambal balado pula sesuai buat mereka yang kurang tahan pedas.

Pendekatan dua varian sambal ini dibuat bagi memenuhi cita rasa kerana tidak semua pelanggan dapat menikmati makanan jika sambalnya terlampau pedas.

Ayam Sambal Hejau menawarkan konsep hidangan ringkas dan cepat, seiring gaya hidup pelanggan masa kini yang mahukan makanan siap segera tetapi tetap mengenyangkan.

Tiga set utama ditawarkan iaitu Set A, Set B dan Set C dengan harga antara RM13.90 hingga RM16.90.

Set A mengandungi nasi kukus, ayam goreng, sambal hijau, kobis dan timun.

Set B pula hadir dengan tambahan tauhu goreng, manakala Set C dilengkapi bayam goreng rangup sebagai pelengkap hidangan.

Menu sampingan seperti kulit ayam goreng turut disediakan bagi pelanggan yang mahukan tambahan rasa rangup.

Ayam goreng dan bayam goreng rangup menjadi antara item yang menerima permintaan tinggi.

Selain menu utama, dua pencuci mulut tradisional ditawarkan iaitu sengkuang calit dan sagu gula Melaka selain beberapa pilihan minuman kepada pelanggan.

AYAM SAMBAL HEJAU
Lokasi: Jalan Elektron U16 Denai Alam, Selangor
Operasi: Setiap hari bermula 10.30 pagi hingga 9 malam
Makanan popular: Set nasi ayam kukus sambal hijau

Kedai ini diusahakan dua sahabat berusia 35 tahun, Daril Amin Sabre dari Alor Setar dan Muhammad Ezzul Zuhri Kamazubri dari Kelana Jaya.

Kedua-duanya ialah graduan UiTM dengan latar belakang berbeza, Daril dalam bidang Seni Kulinari manakala Ezzul dalam bidang pelancongan.Berpengalaman sebagai tukang masak di beberapa hotel ternama sebelum berkhidmat sebagai chef di kapal dagang.

Pada 2023, beliau mengambil keputusan berhenti kerja dan mula berniaga kecil-kecilan dengan menjual set ayam kunyit sambal hijau di UiTM Puncak Alam pada harga RM6.

“Bagaimanapun, gerai tersebut terpaksa ditutup apabila kos sewa meningkat. Namun rezeki tidak pernah salah alamat. Bermula Ogos lalu, kami membuka Ayam Sambal Hejau, dan sejak itu, sambutannya sungguh memberangsangkan.

“Kuasa media sosial membawa pelanggan dari seluruh Lembah Klang, malah ada yang sanggup memandu jauh dari Utara dan Selatan semata-mata untuk mencuba sambal hijau ini.

“Walaupun ada yang menyamakan hidangan sambal hijau dengan ayam geprek atau ayam gepuk dari Indonesia, namun kami yakin bahawa rasa dua sambal hijau kami ini lebih mencerminkan selera Malaysia.

“Rahsianya? Penggunaan cili Thailand untuk aroma yang lebih harum serta minyak bijan bagi menaikkan rasa sambal. Gabungan ini menghasilkan sambal hijau yang wangi, berlemak dan menyelerakan, mengekalkan keaslian rasa identiti tempatan,” katanya.

Beliau berkata, menu makanan di kedainya juga akan ditambah dan dipelbagaikan dari semasa ke semasa bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan.

Bagi yang mencari hidangan ringkas tetapi memuaskan, rasa pedas sambal hijau pada level boleh toleransi, kedai ini wajar masuk dalam senarai destinasi makan hujung minggu anda. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×