Penduduk Putra Heights teruskan usaha saman kerajaan negeri, Petronas

Penduduk Putra Heights teruskan usaha saman kerajaan negeri, Petronas

MOHD. Badly Nordin bersama ahli keluarganya di hadapan rumah yang baru mereka terima pada Majlis Penyerahan Kunci di Kampung Sungai Baru, Putra Heights, semalam. – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights tetap meneruskan tindakan saman terhadap Kerajaan Negeri Selangor dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) meskipun rumah baharu mereka telah diserahkan semalam.

Setiausaha Persatuan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Badly Nordin, 41, berkata, keputusan itu dibuat kerana kerugian yang dialami penduduk jauh melebihi nilai baik pulih kediaman.

“Kami memang bersyukur rumah sudah siap dan boleh diduduki tetapi banyak kerugian lain yang tidak diganti, termasuk trauma, kecederaan dan isi rumah yang musnah. Jadi proses saman tetap dite­ruskan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Majlis Penyerahan Kunci kepada keluarga mangsa kebakaran di sini, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya. peguam yang dilantik ketika ini sedang berada dalam fasa mendapatkan semua laporan teknikal daripada pihak berkaitan sebelum kes difailkan di mahkamah.

“Setakat ini laporan lengkap belum diberikan kepada peguam kami. Kami dimaklumkan mereka perlu gunakan saluran mahkamah untuk dapatkan dokumen-dokumen itu,” katanya.

Badly turut memaklumkan penduduk belum menerima bantuan sewa rumah fasa ketiga seperti yang diumumkan baru-baru ini dan penduduk merancang untuk berpindah masuk semula ke kediaman masing-masing dalam masa terdekat.

“Mungkin ambil masa se­dikit untuk pulang semula sebab rumah masih kosong, banyak yang perlu diuruskan semula. Tetapi peringkat awal ini kita lega dapat kembali ke rumah sendiri,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyerahkan kunci kepada 18 keluarga mang­sa selepas kediaman mereka di Kampung Kuala Sungai Baru siap dibaik pulih serta dibina semula sepenuhnya.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan berkata, kerja pemulihan itu dilaksanakan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan peruntukan RM4.85 juta, selaras komitmen kerajaan memastikan keselamatan dan kesejahteraan mangsa menjadi keutamaan.

“Projek ini dilaksanakan secara pantas hasil kerjasama KPKT dan SPNB bagi memastikan penduduk dapat kembali ke rumah yang stabil dan selesa dalam tempoh singkat,” kata­nya.

Menurut beliau, projek dimulakan pada 3 Jun selepas lantikan rasmi SPNB pada 7 Mei dan kesemua 18 rumah berjaya di­siapkan mengikut jadual. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini