PUTRAJAYA: Sekurang-kurangnya 31 kejadian runtuh runtuh direkodkan di daerah Cameron Highlands melibatkan cerun jalan dan premis sepanjang tahun ini.
Pada masa sama, sebahagian runtuhan cerun jalan dilaporkan berlaku di Jalan Persekutuan FT059,Jalan Tapah-Cameron.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beberapa lokasi runtuhan premis juga telah dikenal pasti di bawah bidang kuasa Majlis Daerah Cameron Highlands atau Pejabat Daerah.
“Antara tindakan yang telah dilaksanakan termasuk lawatan pemeriksaan dan verifikasi tapak.
“Mitigasi awal seperti menurup cerun dengan plastik serta pelaksanaan pelan pengurusan trafik (TMP)yang turut dilakukan bagi mengawal runtuhan tanah,” katanya di sini semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan gesaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar yang mahu semua projek pembangunan di kawasan hutan melebihi 20.8 hektar di Cameron Highlands perlu dihentikan serta-merta bagi mengelak risiko bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.
Pembangunan di kawasan tanah tinggi itu kini mencapai tahap terlalu padat, sekali gus menuntut tindakan tegas kerajaan untuk menghentikan projek berskala besar di lokasi sensitif.
Pekan Brinchang disebut sebagai contoh pembangunan bercampur yang terlalu banyak sehingga mengurangkan suasana kehijauan kawasan tersebut selain kawasan Kea Farm dan Tringkap juga kini semakin padat dengan pembangunan termasuk lot perniagaan, sekali gus menimbulkan isu kesesakan trafik kerana kurangnya kemudahan tempat letak kenderaan.
Pembangunan berterusan terutama yang berskala besar, tidak terancang dan di luar kawalan menyebabkan suhu di kawasan tanah tinggi ini semakin panas yang mana suhu purata di Cameron Highlands telah meningkat sebanyak empat darjah celsius dalam tempoh 10 tahun.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, isu tanah runtuh di Cameron Highlands berulang setiap tahun semasa musim hujan.
Beliau berkata, hal tersebut sepatutnya memberikan isyarat kepada semua pihak agar bertindak mengambil tindakan sewajarnya mengikut kepakaran masing masing, daripada keperluan ekonomi, infrastruktur, hal ehwal geologi (cerun, jenis tanah dan kesesuaiannya). – UTUSAN










