Shamsul Iskandar tidak mengaku terima suapan lebih RM176,000

Shamsul Iskandar tidak mengaku terima suapan lebih RM176,000

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar @ Yusre Mohd Akin, 51, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM176,000.

Suapan itu didakwa bertujuan meluluskan lesen penerokaan mineral berapa buah syarikat milik seorang ahli perniagaan di Sabah, dua tahun lalu.

Beliau bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh selaku ejen Kerajaan Malaysia iaitu Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, didakwa secara rasuah telah bersetuju menerima suapan wang tunai RM100,000 daripada Albert Tei Jiann Cheing.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, di sini, pada 24 November 2023.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan berbentuk kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03, serta wang tunai RM40,000 daripada individu sama di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 7 Disember 2023 hingga 31 Januari 2024, manakala penerimaan wang tunai itu didakwa berlaku pada 29 Januari 2024.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan dalam bentuk kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM22,249.00 dari Albert Tei di sebuah rumah di Jalan P14a 1/1, Presint 14, dekat sini, 26 Februari lalu.

Tertuduh didakwa menerima semua suapan tersebut sebagai dorongan untuk membantu syarikat-syarikat Albert Tei yang mempunyai kepentingan memperoleh kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, walaupun perbuatan tersebut tidak berkaitan dengan hal ehwal tugas rasminya sebagai ejen kerajaan.

Kesemua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×