SHAH ALAM: Penangguhan pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), kemudahan infrastruktur awam seperti di jajaran Seksyen 3, Kampung Jawa baru-baru ini memberikan kesan kepada kos projek secara keseluruhan.
Pengurusan WCE Sdn. Bhd. berkata, penangguhan hingga 20 bulan di kawasan berkenaan memberi implikasi kos yang ketara selain menjejaskan keselamatan, produktiviti dan imej pelaburan.
Katanya, ia mengakibatkan peningkatan kos bahan binaan, kos kontraktor, perbelanjaan pentadbiran tambahan akibat tempoh pembinaan lebih lama serta kos tidak langsung seperti kehilangan pendapatan tol sementara dan risiko lain.
“Daripada perspektif ekonomi dan industri, lebih 10,000 lori dan pengangkutan perdagangan lain terpaksa menggunakan laluan sedia ada yang sesak ke Pelabuhan Klang, sekali gus meningkatkan masa perjalanan, penggunaan bahan api serta kos logistik.
“Daripada perspektif komuniti dan keselamatan pula, kesesakan lalu lintas berterusan menjejaskan kualiti hidup penduduk sekitar. Beberapa media telah melaporkan kebimbangan komuniti mengenai keselamatan serta kelewatan kemajuan projek,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan penangguhan hampir dua tahun pembinaan WCE bagi jajaran Seksyen 3 di atas kawasan sepanjang 150 meter berakhir apabila 19 penduduk berpindah dari kawasan berkenaan sejak 24 November lalu.
Sebahagian penduduk bersetuju menerima cadangan pemindahan ke penempatan di bawah Skim Smart Sewa yang ditawarkan oleh Kerajaan Selangor namun tinggal sementara di kediaman lain sementara permohonan mereka diluluskan.
Pemindahan itu sekali gus memberi laluan kepada sambungan pembinaan Lebuhraya WCE menghubungkan susur Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dengan Lebuhraya Persekutuan di Sungai Rasau dan Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE).
WCE dalam maklumannya memberitahu, jajaran tersebut dijangka siap dan dibuka kepada penggunaan awal tahun 2027.
“Untuk Seksyen 3, setelah semua proses pembersihan lot-lot yang terjejas diselesaikan sepenuhnya, kerja-kerja pembinaan akan diteruskan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Pembinaan dijangka siap pada awal tahun 2027 dan kawasan tersebut akan dibuka kepada orang awam selepas proses pengesahan keselamatan serta pemeriksaan akhir oleh pihak berkuasa berkaitan,” ujarnya.
Untuk rekod, terdapat tiga seksyen di lebuh raya berkenaan masih dalam pembinaan, namun kemajuannya sudah pun mencapai lebih 80 peratus. Seperti di Seksyen 3 yang 94 peratus pembinaannya siap.
Bagi Seksyen 4 pula, kemajuan pembinaannya sudah pun mencapai 99 peratus dan ia hanya boleh diakses serta dibuka kepada penggunaan awam apabila Seksyen 3 siap sepenuhnya.
Sementara Seksyen 7 yang menghubungkan Kuala Selangor dengan Sabak Bernam di bahagian utara pula berada pada tahap 82 peratus. Keseluruhan jajaran WCE di negeri ini dijangka dibuka sepenuhnya pada 2027. – UTUSAN










