
MENURUT Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ‘hak’ didefinisi sebagai kebenaran atau kepunyaan yang sah. Perkataan itu menjadi asas kepada Kerajaan Negeri Terengganu menuntut hasil perkongsian keuntungan tanah milik kerajaan negeri meliputi 10 ladang diusahakan FGV Holdings Bhd (FGV).
Mereka mendakwa Felda mengusaha dan menikmati hasil serta keuntungan besar daripada tanah seluas 14,791 hektar milik kerajaan negeri selama lebih 40 tahun tanpa sebarang bayaran premium, cukai tanah atau perkongsian keuntungan yang dipersetujui bersama Terengganu.
Jumlah bayaran perkongsian yang tidak dibayar itu mencecah RM600 juta. Justeru, Kerajaan Terengganu membuat tuntutan mendapatkan haknya. Namun Felda gagal memberi sebarang respons selepas tempoh 40 hari yang dipersetujui untuk penyelesaian isu berkenaan berakhir 29 November lalu.
Perlu diakui, Kerajaan Negeri Terengganu mengambil langkah yang cermat dan teliti apabila membawa isu ini ke peringkat perundangan. Mereka menyusun tindakan satu demi satu. Ahad lalu mereka menjalankan operasi penguatkuasaan bagi kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) untuk kawasan tanah ladang yang diusahakan secara komersial tanpa kebenarannya.
Sebanyak 127 notis larangan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran melibatkan 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar dikeluarkan. Tindakan ini ditakrifkan penguatkuasaan Seksyen 425 KTN terbesar dalam sejarah Terengganu.
Pemberian notis itu adalah permulaan operasi perundangan dalam isu berkenaan. Felda dan FGV diberi masa empat hari untuk remedi dengan mengeluarkan aset-aset mereka. Selepas itu, proses sitaan bermula dan apa yang disita menjadi milik negeri. Kemudian tindakan kompaun kerana menceroboh tanah kerajaan dan mengemukakan saman sivil untuk menuntut kerugian negeri dalam tempoh lebih kurang 40 tahun lepas.
Tatkala proses perundangan ini sedang berlangsung, satu persoalan besar yang timbul mengapa Felda bersikap ‘negatif’ dalam soal tuntutan ini? Kerajaan Terengganu merumuskan tindak balas negatif dan sikap berdolak dalih Pengurusan Felda dan FGV adalah amat mendukacitakan sedangkan pelbagai ruang perbincangan dan rundingan dibuka.
Apakah Felda mempunyai strategi mereka sendiri berdepan dengan tindakan perundangan ini? Atau mereka tidak menduga Kerajaan Negeri Terengganu akan bertindak sejauh ini dalam membuat tuntutan? Atau mereka mengambil pendekatan tunggu atau lihat?
Ini persoalan-persoalan yang berlegar sebelum Felda dan FGV akhirnya ‘membuka mulut’ dengan mengeluarkan kenyataan bersama petang kelmarin. Sebelum itu, isu tersebut hanya didengar dari sebelah pihak yang bercakap.
Sewajarnya Felda dan FGV membuat kenyataan kerana isu ini adalah ‘perkara besar’ melibatkan penyelesaian tanah yang dibangunkan sebagai ladang komersial. Mereka memaklumkan sedang meneliti notis amaran kerajaan negeri dan sedia menyelesaikan perkara tersebut berdasarkan peruntukan undang-undang.
Di situ ada aset-aset Felda dan pekerja yang mencari rezeki menerusi kewujudan ladang-ladang berkenaan. Felda/FGV bukan sahaja mungkin kehilangan ladang dan aset malah berisiko dikompaun dan membayar ganti rugi. Ia juga adalah prosedur jenayah kerana bawah Kanun Tanah Negara Seksyen 425 adalah kesalahan jenayah, bukan kesalahan sivil.
Dalam sesetengah kes, diam bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah malah boleh memburukkan situasi apatah lagi melibatkan isu tuntutan hak yang sudah berlarutan bertahun-tahun.
Terbaharu, komitmen Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk bertemu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Shamsuri Mokhtar berhubung tuntutan tanah berkenaan memberi petanda positif ia boleh diselesaikan di meja rundingan.
Rundingan ini melibatkan pihak lebih tinggi iaitu individu nombor dua dalam Kerajaan Persekutuan dan orang nombor satu dalam Kerajaan Negeri Terengganu. Kita harap ia membutirkan hasil positif. – UTUSAN











