KEMUNCULAN peralatan moden bagi membersihkan rumah tidak pernah mematahkan semangat Muda Mahammadiah dari Kampung Baru Rhu Muda, Marang, Terengganu menghasilkan penyapu lidi.
Sejak tiga tahun lalu, Muda, 78, tekun meraut lidi daripada pelepah daun kelapa untuk dijadikan penyapu yang dijual pada harga RM4 seikat, sekali gus menjadi sumber pendapatan buat keluarganya.
Dalam sehari, warga emas berkenaan yang dibantu isterinya, Khatijah Ngah, 59, mampu menyiapkan antara 20 hingga 30 ikat penyapu namun penghasilannya turut bergantung kepada permintaan.
Proses meraut lidi dilakukan secara tradisional dan teliti bagi mengelak bahagian hujungnya terputus selain pemilihan pelepah kelapa yang mempunyai lidi lebih kasar, panjang dan tahan lama.
Meskipun perkembangan teknologi membuatkan masyarakat hari ini semakin melupakan penyapu lidi, masih ramai mahu menggunakannya terutama di desa-desa kerana kelebihannya yang tersendiri seperti ringan, dibuat daripada bahan semula jadi dan mempunyai nilai sentimental. – UTUSAN











