PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Hamzah mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Besar Malaya, hari ini.
Hashim, 64, yang menggantikan Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersara pada 14 November lalu, mengangkat sumpah di hadapan Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Beliau berkata, jawatan yang digalasnya kini bukanlah sekadar pangkat semata-mata, ia merupakan satu amanah dengan tanggungjawab besar.
“Saya mendapati terdapat beberapa kelewatan dalam penyelesaian kes, sehinggakan ada tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada 2027 dan 2028.
“Keadaan ini, pada pandangan saya, boleh membuatkan proses menjadi terlalu panjang dan boleh menjejaskan integriti proses kehakiman. Saya juga ingin memastikan tiada kes ‘tergantung’ sehingga mengganggu prosedur mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan Dan Taat Setia Hakim Besar Malaya Dan Hakim Mahkamah Persekutuan di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman, di sini.
Menurut Hashim, beliau juga sedang meneliti cadangan untuk menambah bilangan Pesuruhjaya Kehakiman di beberapa lokasi, terutamanya di bandar-bandar utama.
“Seperti yang semua maklum, beban kes di kawasan ini jauh lebih tinggi. Namun, sebarang perubahan tertakluk kepada faktor logistik, kemudahan dan sumber manusia,” katanya.
Hashim yang berasal dari Pulau Pinang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya.
Beliau memulakan kariernya sebagai Majistret di Mahkamah Kuala Lumpur pada 1985 sebelum menyertai Jabatan Peguam Negara dan berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Perak pada 1992.
Pada 2014, Hashim mengangkat sumpah sebagai Hakim Mahkamah Tinggi sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 2021.- UTUSAN










