Aidan berjaya tamatkan larian 10KM pada usia enam tahun

Aidan berjaya tamatkan larian 10KM pada usia enam tahun

Antara anugerah yang diterima Aidan Aariz Mohd. Zamri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru sahaja berusia enam tahun, namun Aidan Aariz Mohd. Zamri mencuri perhatian ramai dengan ketahanan luar biasa dalam sukan larian.

Si cilik itu mampu menamatkan larian 10 kilometer (km) dalam masa 1 jam 15 minit, dengan purata kelajuan lebih kurang 7 minit 30 saat setiap 1km sekali gus menunjukan pencapaian jarang dilihat pada kanak-kanak seusianya.

Bagi acara Kidslympic yang melibatkan lima pusingan di seluruh Malaysia baru-baru ini, anak bongsu daripada tiga beradik ini berjaya menamatkan setiap pusingan dengan mendapat tempat kedua dalam empat pusingan awal dan tempat ketiga dalam pusingan akhir.

Prestasi Aidan Aariz atau mesra disapa Aidan yang konsisten itu turut menarik perhatian pihak luar dan kini menjadi antara duta termuda jenama sukan Anta.

Bapanya, Mohd. Zamri Zainul Abidin,44, berkata, Aidan mula menyertai perlumbaan semasa berusia lima tahun dengan Hot FM Run sebagai pertandingan pertamanya.

Tanpa menghiraukan hujan lebat ketika itu, Aidan tetap menghabiskan larian.

Situasi itu membuka mata Mohd. Zamri dan isteri mengenai kesungguhan anaknya terhadap sukan itu.

“Saya dan isteri sentiasa membuka peluang kepada anak-anak yang menunjukan minat tersendiri dan akan menyokong sepenuhnya minat mereka,” katanya.

KELUARGA AKTIF

Aidan membesar aktif bersama abang-abangnya, termasuk seorang atlet renang paralimpik junior.

Malah, kehidupan keluarga itu memang cukup dekat dengan dunia sukan dan secara tidak langsung mempengaruhi kecenderungan Aidan untuk menyertai sukan larian.

Justeru, komitmen kos dan masa bukan mudah sementelah setiap anak mempunyai lokasi dan jadual latihan berbeza.

Namun, dia tetap berulang-alik demi minat anak-anak.

“Kasut antara pelaburan utama, Aidan memerlukan beberapa pasang kasut seperti kasut pemanasan badan, kasut latihan, kasut lumba dan lain-lain.

“Aidan cukup sensitif tentang keselesaan ketika berlari.

“Sejak jadi duta jenama kasut, kami boleh jimatkan sedikit kos. Tajaan tersebut turut membuatkan Aidan lebih bersemangat,” katanya.

PRESTASI MENINGKAT

Bagi Mohd. Zamri, kemenangan bukan diukur melalui podium, sebaliknya melalui catatan masa larian Aidan.

Prestasinya yang semakin memberangsangkan mendorong Aidan untuk ‘bertempur’ dengan pesaing yang lebih besar daripadanya.

Cabaran bertambah sengit apabila kategori itu menghimpunkan peserta berusia empat hingga tujuh tahun, memaksa Aidan bersaing dengan kanak-kanak yang lebih tinggi dan matang.

“Oleh sebab pesaing di setiap negeri berlainan persaingannya, jadi peningkatan masa Aidan menjadi titik ukuran. Penganjur sendiri yang beritahu Aidan semakin bertambah baik setiap larian dan bukan semata-mata kerana bernasib baik,” katanya.

Bapa sebagai jurulatih
Aidan tidak menjalani latihan formal seperti mempunyai jurulatih pakar atau latihan yang profesional.

Semua latihan seperti pemanasan badan, regangan, larian ketahan dan latihan ringan semuanya dibimbing oleh Mohd. Zamri.

“Aidan selalu mengajak saya untuk keluar berlari.

“Melihatkan minatnya itu, saya selalu bimbing Aidan untuk berlatih setakat ini.

“Kami berlatih dalam suasana santai dan berfokus kepada kegembiraan, bukan pada teknik latihan yang terlalu ketat,” katanya.

Latihan juga disesuaikan mengikut mood dan tenaga Aidan. Jika dia penat, ibu bapanya tidak akan memaksa.

“Ada suatu ketika, seminggu sebelum acara bermula, Aidan dimasukkan ke hospital kerana jangkitan ketulan di leher. Saya dan isteri waktu itu sudah reda kalau Aidan terpaksa menarik diri daripada menyertai acara tersebut.

“Namun, doktor memaklumkan tiada masalah untuk Aidan berlari. Cuma, kami yang rasa berat hati kerana dia tidak sempat berlatih. Tetapi, kerana semangatnya yang begitu besar, Aidan tetap mahu berlari dan akhirnya dia berjaya mendapat tempat kedua,” katanya.

Pengalaman itu membuatkan keluarganya sedar semangat Aidan jauh mengatasi persediaan fizikal, bukti minatnya benar-benar datang daripada diri sendiri.

Baru-baru ini, Aidan turut menyertai Anta Community Run sejauh lapan kilometer bersama komuniti dewasa dan berjaya mengekalkan kelajuan stabil sepanjang larian.

“Pada satu ketika, saya sendiri tak cukup nafas. Dia pula tanya, ‘Daddy okay?’ Itu menunjukan betapa kuatnya semangat dia,” kata Zamri.

DISIPLIN DAN BERDIKARI

Minat dalam sukan larian membantu Aidan memupuk semangat berdikari yang jarang dilihat pada kanak-kanak seusianya.

Dia tahu menyiapkan begnya sendiri sebelum latihan, melipat baju larian, dan memastikan botol air sentiasa diisi tanpa perlu diingatkan.

“Semua rutin kecil itu dia lakukan sendiri kerana benar-benar meminati apa yang dibuat,” kata Zamri.

Sukan menjadikan Aidan lebih teratur. Dia tahu bila masa untuk berlatih, bila perlu berehat dan bila perlu fokus pada sekolah.

Setiap aktiviti termasuk aktiviti harian di rumah, mula dibuat dengan lebih kemas dan tersusun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN