Peguam Albert Tei, Mahajoth Singh turut disiasat SPRM.

Peguam Albert Tei, Mahajoth Singh turut disiasat SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan peguam Albert Tei iaitu Mahajoth Singh akan disiasat mengikut Seksyen 48 Akta SPRM 2009.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan berasingan terhadap Mahajoth dijangka berjalan minggu hadapan.

Beliau berkata, Mahajoth disiasat kerana enggan menyerahkan eksibit berkaitan kes rasuah anak guamnya kepada SPRM.

“Siasatan telah dibuka terhadap Mahajoth mengikut Seksyen 48 Akta SPRM 2009 berhubung keengganan beliau bekerjasama dengan SPRM.

“Peguam berkenaan pada asalnya dikategorikan sebagai saksi kerana beliau mempunyai keterangan dan eksibit yang diperlukan oleh pegawai penyiasat.

“Mengikut undang-undang, notis telah diserahkan untuk beliau hadir ke pejabat SPRM. Beliau hadir dua hari lalu tetapi masih enggan memberikan keterangan dan menyerahkan eksibit yang diminta,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Azam berkata, pihaknya telah merujuk perkara itu kepada Timbalan Pendakwa Raya dan kertas siasatan telah dibuka.

Katanya, dalam kes ini, Mahajoth bukan peguam yang memegang maklumat sulit yang perlu dilindungi, sebaliknya beliau perlu bekerjasama bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kuasa SPRM adalah jelas mengikut Seksyen 30 (1) dan 30 (2) Akta SPRM yang memberi kuasa untuk memerintahkan mana-mana individu hadir dan mengemukakan dokumen yang diperlukan.

“Undang-undang tidak memberi pengecualian kepada peguam atau mana-mana profesional lain,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan dibangkitkan Majlis Peguam kononnya SPRM melanggar peruntukan Seksyen 46 Akta SPRM 2009, Azam berkata, perkara dibangkitkan itu tidak berasas.

“SPRM tidak meminta maklumat sulit antara peguam dan anak guam. Apa yang diminta hanyalah bahan bukti dan maklumat dalam pegangan beliau sebagai individu yang mempunyai maklumat penting.

“Prinsip undang-undang jelas keistimewaan tidak melindungi seseorang daripada kewajipan hadir apabila disuruh dan tidak melindungi dokumen yang bukan sebahagian daripada nasihat guaman.

“Dalam hal ini, SPRM bertindak mengikut prosedur yang sah. Peguam hanya diminta hadir sebagai saksi seperti saksi lain. Ini bukan pendakwaan ke atas beliau dan tidak menjejaskan kedudukannya sebagai peguam mana-mana pihak. Oleh itu, dakwaan bahawa SPRM melanggar Seksyen 46 adalah tidak tepat.

“Jika mana-mana pihak tidak berpuas hati, mereka berhak membawanya ke mahkamah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×