KUALA LUMPUR: Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkemungkinan digantung selama enam bulan daripada menghadiri Sidang Dewan Rakyat kerana kenyataannya membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Masjid Rusila, Marang, Terengganu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dijadual mencadangkan usul seperti terkandung dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen malam tadi.
Berdasarkan AUM, usul berkenaan menyatakan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) itu dalam ucapannya mengaitkan kejadian di Masjid Rusila dengan peristiwa Memali di Baling, Kedah pada 1985.
Ucapan Takiyuddin didakwa turut memberi imej negatif terhadap anggota dan imej Maritim Malaysia sebagai agensi dalam perkhidmatan awam.
“Bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk dan Ahli Parlimen Marang masing-masing pada 6 Oktober dan 13 Oktober lalu melalui pemakluman oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai pengetahuan bahawa kejadian tersebut adalah pelaksanaan Latihan Pelarian dan Pelolosan Kursus Asas Komando STAR Team oleh Maritim Malaysia.
“Kota Bharu (Takiyuddin) walaupun sebelum ucapannya di Dewan Rakyat pada 22 Oktober lalu telah mengetahui mengenai perkara di atas tentang kejadian tersebut merupakan satu pelaksanaan latihan dikendalikan oleh Maritim Malaysia di Masjid Rusila, namun telah membangkitkan mengenainya di dalam Dewan Rakyat pada 22 Oktober lalu dengan tidak memberi gambaran sebenar tujuan kejadian tersebut.
“Ucapan Kota Bharu tersebut juga telah mencalarkan imej Maritim Malaysia, malah anggota Maritim Malaysia yang didakwa terlibat dengan insiden tersebut mungkin (bersifat) menganiaya disebabkan oleh tuduhan tidak berasas ini,” demikian seperti tertera dalam AUM.
Menurut usul tersebut, dakwaan Takiyuddin merupakan perbuatan yang seolah-olah menjatuhkan martabat anggota Maritim Malaysia yang bertungkus-lumus dalam menjaga samudera Malaysia yang luas daripada pelbagai ancaman.
“Ancaman itu termasuklah penyeludupan senjata, perikanan haram, pencerobohan kapal asing, dadah, lanun dan ancaman lain.
“Kota Bharu telah mengeluarkan kenyataan dan dakwaan yang serius dan bertindak membangkitkan perasaan melawan kuasa kerajaan,” demikian seperti tertera dalam AUM. – UTUSAN










