Dua warga asing ditahan cuba seludup dadah di KLIA

Dua warga asing ditahan cuba seludup dadah di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Dua individu warga asing ditahan selepas menyeludup hampir 15 kilogram dadah yang disembunyikan dalam kotak teh Cina dan patung permainan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 19 November lalu.

Penahanan seorang lelaki warga China dan wanita warga Thailand itu dilakukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pengarah Kastam JKDM KLIA, Zulkifli Muhammad berkata, mereka ditahan selepas imej imbasan bagasi mereka menimbulkan syak kepada anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA.

“Pemeriksaan ke atas bagasi warga China menemukan beberapa bungkusan kecil berwarna kuning berisi serbuk disyaki ketamin yang disembunyikan dalam tin dan kotak merah berlabel Refined Chinese Tea.

“Bagi bagasi warga Thailand, pegawai menemukan objek berbentuk kapsul berisi serbuk disyaki kokain yang disorok di dalam patung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan bersama barang rampasan sebelum diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA untuk siasatan lanjut.

“Jumlah keseluruhan rampasan melibatkan 2.7 kilogram ketamin bernilai lebih RM135,000 dan 12 kilogram kokain bernilai lebih RM2.4 juta. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM2.53 juta,” katanya yang turut memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×