Pantai Chenang tiada kelibat pelancong - Utusan Malaysia

Pantai Chenang tiada kelibat pelancong

DERETAN premis perniagaan yang ditutup sejak pelaksanaan PKP 3.0 di sepanjang Jalan Pantai Chenang, Langkawi, Kedah. – UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Seramai 143 peniaga di kawasan peranginan Pantai Chenang di sini terjejas pendapatan selepas ketiadaan pelancongan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 1 Jun lalu.

Pada masa ini, kira-kira 70 peratus daripada jumlah peniaga terpaksa menutup premis perniagaan masing-masing untuk mengelakkan kerugian lebih besar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia di sini semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, kemeriahan kawasan tersebut yang menjadi tumpuan pelancongan tempatan dan luar negara kini bertukar sunyi.

“Saya percaya kawasan peranginan ini akan lumpuh sepenuhnya sekiranya PKP ini akan disambung lagi dalam tempoh yang lama,” katanya.

Tinjauan mendapati kawasan peranginan itu hampir lumpuh kerana tiada kelibat pelancong.
Sementara itu, hampir kesemua premis perniagaan di sepanjang jalan di pantai ditutup walaupun menjual makanan yang dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu dan hanya beberapa restoran francais yang masih beroperasi.

Zainudin memberitahu, beberapa peniaga didapati cuba membuka perniagaan lebih awal selepas waktu perniagaan dihadkan sampai pukul 8 malam namun jumlah pelanggan mengecewakan.

“Suasana tersebut juga berlaku di kawasan-kawasan tumpuan pelancongan lain di pulau ini sejak PKP 3.0 dilaksanakan,” ujarnya.

Seorang peniaga pakaian, Mohd. Irwanshah Azman, 35, berkata, dia terpaksa menanggung kerugian apabila PKP dilaksanakan kerana tidak dapat berniaga namun sewa premis tetap dibayar seperti biasa.

Menurutnya, peniaga di kawasan ini akan terjejas lebih teruk sekiranya PKP dilanjutkan selepas ini.

“Beberapa premis perniagaan yang dibuka juga tiada pelanggan,” katanya.
Seorang lagi peniaga yang mahu dikenali sebagai Aizam berkata, dia terpaksa menutup operasi sepanjang PKP kerana perniagaan aiskrim gorengnya tidak mendapat sambutan.
“Sekarang ini saya menumpang sementara di kedai adik saya di Kuah, kerana di kawasan itu mempunyai lebih banyak penduduk tempatan berbanding di Chenang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×