Kertas siasatan Syamsul Haris dirujuk ke AGC dalam masa terdekat - Utusan Malaysia

Kertas siasatan Syamsul Haris dirujuk ke AGC dalam masa terdekat

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan membabitkan kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Syamsul Haris Shamsudin akan dirujuk semula kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat.

Ini susulan kes itu diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, terdapat penemuan baharu pada laporan penuh bedah siasat kedua yang dijalankan.

“Saya telah diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Datuk M. Kumar), polis akan melengkapkan kertas siasatan dalam masa terdekat bersama dengan syor kepada AGC tentang hala tuju siasatan.

“Ini kerana ada perbezaan dengan hasil siasatan awal (sebelum) iaitu laporan perubatan awal yang menjadi asas kepada punca kematian dengan penemuan baharu siasatan oleh polis.

“Jadi biar pihak polis selesaikan dengan menyerahkan kertas siasatan kepada AGC,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Simposium Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2025 di sini, hari ini.

Pada 28 November lalu, bedah siasat kedua terhadap jasad Syamsul Haris mendapati punca kematiannya disebabkan kecederaan pada leher.

Perkara itu didedahkan peguam Datuk Naran Singh selepas mendapatkan laporan bedah siasat daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau berkata, terdapat beberapa kecederaan lain seperti melecet yang turut ditemukan pada jasad Allahyarham dalam proses bedah siasat pada 30 Ogos.

Pada 26 Ogos, Mahkamah Tinggi memerintahkan kubur Allahyarham digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.

Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor pada 28 Julai selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram sebelum dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×