EWA mampu jadi penyelesaian krisis aliran tunai B40

EWA mampu jadi penyelesaian krisis aliran tunai B40

CHEAH Kok Hoong (dua dari kiri) ketika Majlis Pengumuman Kerjasama Strategik Setlary di Hotel Hilton. Turut bersama Ketua Pegawai Eksekutif ZFounder, Jin Tan (kiri), Ketua Pegawai Eksekutif CTOS, Lee Shin Mei (dua dari kanan) dan Pengasas Bersama Setlary, Charles Chew (kanan). Foto : Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gaji yang diperoleh (EWA) merupakan penyelesaian paling praktikal dalam menangani krisis aliran tunai yang menekan golongan pekerja berpendapatan rendah, khususnya B40.

Presiden ESG Association Malaysia (ESGAM), Prof. Cheah Kok Hoong berkata, EWA kini muncul sebagai instrumen sosial yang kritikal kerana ia memberi fleksibiliti kepada pekerja untuk mengakses gaji yang telah mereka peroleh lebih awal.

Menurutnya, perkara itu akan mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman tidak formal atau kredit jangka pendek yang mengenakan kadar faedah tinggi.

“Realiti ekonomi semasa menunjukkan ramai pekerja B40 masih terperangkap dalam kitaran ‘gaji-ke-gaji’ tanpa simpanan kecemasan untuk keperluan mendesak

“Oleh itu, EWA memberi ruang untuk pekerja mengurus keperluan asas harian tanpa berdepan tekanan hutang mikro.

“Ini bukan hanya isu kewangan peribadi, tetapi soal kestabilan sosial dan produktiviti tenaga kerja,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Kerjasama Strategik Setlary di ibu negara di sini, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia kini berada pada masa yang tepat untuk memperluaskan penerimaan teknologi tersebut.

“Selari dengan perkembangan model pekerjaan moden serta keperluan sokongan sosial yang lebih inklusif,” katanya.

Tambahnya, manfaat itu akan turut memberi kesan kepada 1.4 juta majikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sering berdepan masalah aliran tunai.

“PKS menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan digerakkan oleh jutaan pekerja B40.

Jika pekerja tertekan akibat kekangan kewangan, ia akhirnya memberi kesan kepada prestasi perusahaan.

“EWA menawarkan keseimbangan dengan membantu pekerja tanpa membebankan aliran tunai majikan,” katanya.

Mengulas kaitan EWA dengan kerangka ESG, beliau berkata, aspek ‘S’ iaitu sosial sering dipinggirkan kerana sukar diukur, sedangkan komponen itu merupakan elemen paling dekat dengan kesejahteraan pekerja.

“EWA menjadikan dimensi sosial dalam ESG lebih jelas dan terukur.

“Ia menyentuh soal keselamatan kewangan, kebajikan pekerja dan kestabilan hidup. Itu adalah perkara asas yang membentuk tenaga kerja berkualiti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×