KUALA LUMPUR: Sebanyak 200 sekolah berasrama di seluruh negara kini dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan keselamatan pelajar dan mencegah insiden buli dari berlaku.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kementeriannya memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk pemasangan kamera tersebut yang sudah siap sepenuhnya pada 19 November lalu.
Kata beliau, seramai 10,096 guru baharu sudah ditempatkan pada November lalu termasuk lebih 500 guru bimbingan dan kaunseling bagi memperkukuh keupayaan sekolah dalam menangani isu salah laku pelajar.
“Pemasangan CCTV akan diperluas ke 333 sekolah asrama lain dengan peruntukan tambahan RM5 juta. Malah, bermula pada tahun depan, KPM akan turut melantik 600 pembantu warden asrama dalam kalangan petugas daripada program pekerjaan sementara (MySTEP).
“Ini untuk memperkukuh pengawasan pada waktu malam. Reformasi segera terhadap sistem keselamatan sekolah terus dilaksanakan bagi memastikan pencegahan buli lebih berkesan dan menyeluruh,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Salehuddin Saidin tentang langkah Kementerian Pendidikan (KPM) meningkatkan keselamatan di sekolah dan mencegah kes buli serta ugutan dengan menjadikan tragedi menimpa Zara sebagai pengajaran.
Kah Woh berkata, KPM komited untuk memperkukuh keselamatan di sekolah, bagaimanapun usaha untuk membanteras gejala buli memerlukan kerjasama semua pihak.
“KPM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku buli di institusi pendidikan. Usaha membanteras gejala bulia ialah usaha berpanjangan.
“Ia memerlukan komitmen semua pihak agar ekosistem sekolah sentiasa selamat dan kondusif,” katanya. – UTUSAN










