Shahmalarani pingat tuai perak karate dunia

Shahmalarani tuai pingat perak karate dunia

C. Shahmalarani menang pingat perak di Kejohanan Dunia 2025 dalam acara bawah 50 kilogram di Kaherah, Msir, kelmarin. - IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh karate wanita negara, C. Shahmalarani mengakui dia tidak menyangka berjaya membawa pulang pingat perak di Kejohanan Dunia bagi acara Bawah 50 kilogram (kg) di Kaherah, kelmarin.

Shahmalarani berkata, walaupun tiada sebarang sasaran diletakkan memandangkan itu merupakan penampilan pertamanya di kejohanan tersebut namun atlet berusia 26 tahun itu tetap berusaha keras.

“Sesuatu yang tidak diletakkan sebagai sasaran untuk kejohanan dunia ini, saya datang tanpa sebarang jangkaan kerana kami sedang membuat persiapan untuk Sukan SEA.

“Saya benar-benar berbangga dengan diri saya atas sejauh mana saya telah sampai.

“Saya telah bekerja keras untuk detik ini. Ya, tiada jangkaan tetapi saya tahu segala usaha yang telah dilakukan di belakang tabir untuk berada di tempat saya berdiri sekarang,” katanya.

Shahmalarani berada di ranking ke-11 dunia tewas 6-1 kepada Gulshan Alimardanova dari Uzbekistan dan itu merupakan kekalahan kedua kepada lawan yang sama setelah kecundang di final Kejohanan Asia, Mei lalu.

Kali terakhir Malaysia mara ke final di kejohanan dunia pada 2014 menerusi Syakilla Salny Jefry Krishnan yang membawa pulang pingat perak.

Ditanya punca Alimardanova sukar ditewaskan, Shahmalarani berkata, semua itu hanya ditentukan dalam tiga minit perlawanan.

“Hanya kesilapan, tidak lebih daripada itu. Mengendalikan tiga minit, itulah karate.

“Saya menewaskan juara dunia semasa dalam separuh akhir, begitulah sukan ini berfungsi! Siapa yang mengendalikan perlawanan dengan baik dalam tiga minit itu, itulah penentunya,” katanya.

Terdahulu, Shahmalarani menewaskan Yuliia Palashevska dari Ukraine 2-0 dalam pusingan pembukaan sebelum menundukkan Lili Alvarado dari Ecuador 5-3 di suku akhir.

Atlet berusia 26 tahun itu menewaskan Sara Bahmanyar dari Iran 4-1 dalam aksi separuh akhir untuk menempah tiket ke final. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×