Siapa menteri baharu?

Siapa menteri baharu?

ANWAR Ibrahim menunjukkan isyarat bagus pada Majlis Perasmian Kenderaan Pertama EV Perodua di Menara MITI, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada rombakan Kabinet secara besar-besaran, sebaliknya akan mengisi kekosongan membabitkan beberapa jawatan menteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, memang terdapat keperluan bagi mengisi kekosongan beberapa jawatan menteri, namun beliau sedang merancang apa langkah perlu diambil.

“Kita perlu mengisi beberapa kekosongan kerana ada keperluan. Rombakan itu kalau ada masa yang panjang, tetapi Kabinet ini hanya akan berfungsi satu tahun setengah.

“Jadi saya tidak fikir akan ada rombakan besar yang dilakukan. Saya sedang merenung apa langkah-langkah perlu diambil,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kenderaan Pertama EV Perodua di Menara MITI, di sini semalam.

Persoalan rombakan Kabinet itu timbul selepas tiga orang menteri sebelum ini meletak jawatan iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli (bekas Menteri Ekonomi), Nik Nazmi Nik Ahmad (bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia) dan Datuk Ewon Benedick (bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi).

Selain itu, beberapa menteri yang dilantik atas kapasiti Ahli Dewan Negara akan tamat tempoh sebagai senator awal bulan depan seperti Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Tempoh tiga lagi menteri yang juga senator iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Na’im Mokhtar juga akan berakhir pada tarikh yang sama.

Namun, ketiga-tiga mereka masih dalam penggal pertama sebagai Ahli Dewan Negara dan dijangka akan dilantik semula untuk penggal kedua (tiga tahun) yang berikutnya.

Mengulas mengenai kedudukan Tengku Zafrul yang telah tamat tempoh sebagai senator, Anwar berkata, Tengku Zafrul akan diberi tanggungjawab baharu bagi membantu memperkukuhkan kerajaan.

Katanya, tugas baharu bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu akan diumumkan oleh beliau Rabu ini iaitu sehari selepas Tengku Zafrul tamat tempoh sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua, esok.

“Tengku Zafrul hari terakhir sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri pada 2 Disember tetapi dia akan terus kerja yang saya akan umumkan pada 3 Disember (lusa).

“Beliau (Tengku Zafrul) masih ada tanggungjawab, beliau tidak boleh dilepaskan,” katanya.

Pada 13 November lalu, ketika Taklimat Media Kad Laporan Prestasi MITI Suku Ketiga 2025, Tengku Zafrul mengesahkan akan mengakhiri tugasnya sebagai menteri berkuat kuasa 2 Disember ini.

Sementara itu, bercakap mengenai perjanjian perdagangan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS), Anwar memberi jaminan ia tidak akan menjejaskan kerjasama sedia ada dengan China.

Menurut Anwar, pihaknya telah memberikan penjelasan sewajarnya berhubung perkara tersebut dan menegaskan bahawa China kekal sebagai rakan dagang yang sangat penting kepada Malaysia.

“Mereka (China) mahukan sedikit penjelasan dan kita telah berikan. Saya tidak fikir kita perlu membesar-besarkannya.

“Dalam perbincangan dua hala dengan Perdana Menteri, Li Qiang juga telah diberikan penjelasan. Tiada apa dalam perjanjian itu yang menghalang kita daripada meneruskan kerjasama dengan China,” katanya.

Minggu lalu, portal berita melaporkan bahawa semasa pertemuan dengan pegawai Malaysia pada Selasa (25 November), Kementerian Perdagangan China menyuarakan ‘kebimbangan serius’ mengenai bahagian-bahagian tertentu dalam perjanjian perdagangan AS-Malaysia.

Portal turut melaporkan, kerajaan China dikatakan telah meminta Putrajaya untuk ‘mempertimbangkan sepenuhnya dan mengendalikan perkara ini dengan betul selaras dengan kepentingan jangka panjangnya.’ – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×