KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyasarkan pelaksanaan Sistem e-Tanah secara Kerjasama Awam Swasta (PPP) di seluruh Semenanjung Malaysia menjelang tahun 2030.
Pemangku Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pihaknya sedang menggerakkan semua usaha agar sistem berkenaan dapat diperkukuh dan dipercepatkan pelaksanaannya di setiap negeri bagi memastikan proses urusan tanah lebih cekap, telus dan bersepadu.
Menurutnya, sistem itu mula dilaksanakan sebagai projek rintis di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 2017 dan kejayaannya menjadi pemangkin kepada peluasan sistem tersebut ke Perak, Putrajaya, Labuan, Terengganu, Selangor, Pahang, Johor, Kelantan, Kedah dan Perlis.
“Sebagai komitmen berterusan, Kerajaan Persekutuan turut bersetuju supaya sistem ini dilaksanakan di Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan.
“Dengan perkembangan ini, kita berada pada landasan yang kukuh untuk memastikan seluruh Semenanjung beralih sepenuhnya kepada e-Tanah lebih awal daripada sasaran asal 2030,” katanya dalam ucapan Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Sistem e-Tanah Secara Kerjasama Awam Swasta bagi Negeri Pulau Pinang antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang di ibu negara di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Setiausaha Kerajan Negeri, Datuk Seri Zulkifli Long dan Pengerusi Eksekutif Puncak Tegap Sdn Bhd, Tuan Syed Azmin Syed Nor.
Sistem e-Tanah di Pulau Pinang akan dilaksanakan melibatkan kolaborasi strategik di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pihak swasta yang akan dilaksanakan selama 14 tahun merangkumi dua tahun pembangunan dan 12 tahun pengoperasian.
Johari berkata, melalui model PPP ini, syarikat konsesi akan menanggung kos pembangunan sistem, pembekalan peralatan dan latihan serta pemindahan teknologi.
“Syarikat juga akan menanggung kos penyelenggaraan sistem termasuk melaksanakan technology refresh sebanyak dua kali di sepanjang tempoh konsesi bagi memastikan sistem ini mengguna pakai teknologi terkini yang bersesuaian,” katanya.
Sementara itu, katanya, Kerajaan Persekutuan akan membayar fi perkhidmatan kepada syarikat konsesi berdasarkan kadar dan syarat yang ditetapkan setelah sistem mula beroperasi sepenuhnya sehingga tamat tempoh konsesi atau pembayaran telah mencapai siling yang ditetapkan.
“Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang berperanan sebagai pengguna sistem akan menanggung kos yang minima iaitu kos operasi harian di pejabat tanah sahaja.
“Pelaburan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan untuk sistem ini membuktikan bahawa kerajaan cakna dengan kepentingan pemerkasaan perkhidmatan pentadbiran tanah yang efisien dan mesra rakyat melalui pendigitalan perkhidmatan yang optimum,” katanya. – UTUSAN










