Malaysia hadapi Laos tanpa lima pemain utama

Malaysia hadapi Laos tanpa lima pemain utama

Pemain bola sepak bawah 23 negara menjalani latihan harian sebagai persiapan ke Sukan SEA Thailand pada Disember ini. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Malaysia B-23 bakal menghadapi cabaran sukar menentang Laos dalam aksi pembukaan Kumpulan B Sukan SEA 2025 tanpa kelibat lima pemain utama.

Jurulatih skuad negara, Nafuzi Zain mengesahkan hanya 20 daripada 25 pemain yang dipanggil sudah melapor diri ke kem latihan, manakala lima hingga enam pemain berpotensi terlepas aksi pembuka tirai kerana terikat dengan komitmen Liga Super bersama kelab masing-masing.

“Persiapan kita sedikit terjejas kerana Liga Super sedang berlangsung dan ada beberapa perlawanan yang membabitkan pemain kita.

“Mungkin ada yang terlepas aksi pertama Sukan SEA untuk sertai perlawanan Liga Super,” katanya.

Antara pemain yang dijangka tidak dapat diturunkan adalah Ubaidullah Shamsul Fazili, Fergus Tierney, Muhammad Abu Khalil, Haqimi Azim Rosli dan Aliff Izwan Yuslan.

Perlawanan Liga Super yang dijadual pada 7 Disember, tiga hari selepas perlawanan pertama menentang Laos, menjadi punca utama kekangan pelepasan pemain.

Nafuzi berharap kerjasama penuh daripada semua kelab agar pemain yang dipanggil dapat mewakili negara dalam kempen Sukan SEA kali ini.

“Pelepasan pemain dari kelab-kelab sangat penting bagi memastikan persiapan kita lebih mantap,” tambahnya.

Selepas menentang Laos, Malaysia B-23 akan berdepan Vietnam pada 11 Disember ini dengan hanya juara kumpulan dan naib juara terbaik akan mara ke separuh akhir.

Skuad negara kini menghadapi cabaran lebih besar dalam usaha merebut emas Sukan SEA tanpa kekuatan penuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×