Dulu jual preloved, kini Kak Tun usahawan panipuri

Dulu jual preloved, kini Kak Tun usahawan panipuri

SAHDATUN Nazirah Zainal Abidin menunjukkan panipuri yang dijual ketika ditemui di D'Selera Lindungan, Petaling Jaya. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERJALANAN perniagaan KakTun Enterprise bermula dengan penuh kesederhanaan, jauh sebelum produk panipuri keluarannya mendapat tempat dalam kalangan pelanggan. 

Pengasasnya, Sahdatun Nazirah Zainal Abidin, 46, atau lebih dikenali sebagai Kak Tun berkata, dia berniaga barangan preloved atau terpakai tanpa modal, malah pernah mengutip barangan terpakai untuk dijual demi kelangsungan hidup pada 2000.

Katanya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia meneruskan jualan barangan terpakai  sambil menghasilkan tepung pelita kukus bersama anak-anak dari rumah di Taman Petaling Perdana. 

Jelasnya, selepas sekatan pergerakan ditamatkan dan pasar malam kembali beroperasi, dia kembali berniaga walaupun tidak mempunyai lesen pada waktu itu.

Tahun 2022 menjadi titik perubahan apabila Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) menawarkan penyertaan dalam program pembangunan usahawan. 

“Ketika ini, saya berasa ke­tinggalan berbanding peserta lain yang sudah memiliki kedai dan pengalaman luas, namun tidak sangka yang  saya berjaya meraih tempat naib juara kedua Usahawan MBPJ. 

“Pengiktirafan tersebut mem­buka ruang lebih besar termasuk lawatan ke Bandung di Indonesia, pemberian telefon pintar, bantuan kewangan serta pendedahan kepada agensi-agensi keusahawanan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Sahdatun Nazirah berkata, idea untuk menghasilkan panipuri tercetus selepas mencuba makanan yang tersebut di Brickfields. 

“Selepas tiga bulan mencuba pelbagai olahan sendiri, saya berjaya menyesuaikan cita rasa panipuri dengan kehendak masyarakat kebanyakan. 

“Keistimewaan produk ini terletak pada satu kuah serbaguna, berbeza daripada resipi asal yang menyediakan dua jenis kuah. Pendekatan itu lebih praktikal untuk pelanggan yang mahu menikmati panipuri dengan lebih mudah,” ujarnya.

Dia berkata, produk panipuri KakTun Enterprise hadir dalam beberapa varian kerak termauk biasa dan keju.

Tambahnya, selain menjual di premisnya di Pusat Penjaja D’selera Lindungan, Petaling Jaya, Selangor, dia juga menjual panipuri melalui TikTok, tempahan acara dan penyertaan di reruai dalam acara pameran. 

Menurutnya, set panipuri dijual pada harga RM18, manakala kerak panipuri bermula RM12.90.

Sebagai usahawan mikro, Sahdatun Nazirah berkata, cabaran modal merupakan kekangan terbesar, terutama apabila perlu membeli bahan dalam kuantiti besar serta menyediakan mesin atau acuan untuk pengeluaran. 

Walaupun tidak berniaga setiap hari kerana menumpukan kepada reruai dan tempahan, dia berhasrat mengembangkan perniagaan, termasuk menjadikan kuah panipuri sebagai produk sos siap dimakan di pasaran.

Katanya lagi, produknya juga dalam proses untuk memasuki pasar raya dan akan berada di Lotus’s tidak lama lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×