JOHOR BAHRU: Tiga tukang urut wanita yang menawarkan khidmat ‘extra’ kepada pelanggan lelaki dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam serbuan Ops Merah di sebuah premis urutan di Bangunan Merlin Tower, Jalan Meldrum, di sini.
Serbuan pukul 5 petang kelmarin yang disertai 20 pegawai penguat kuasa itu membawa kepada penahanan tiga tukang urut wanita yang didapati menyediakan perkhidmatan melanggar batas syariah.
Jurucakap JAINJ berkata, seorang tukang urut tempatan berusia 40 tahun ditemui dalam keadaan mencurigakan iaitu hanya memakai baju ketat dan seluar dalam ketika sedang memberikan urutan badan kepada seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun.
“Pelanggan itu, penduduk Taman Kota Masai, turut ditemui hanya berseluar dalam. Dia mengaku datang ke pusat urutan tersebut sebaik tamat waktu kerja. Perkhidmatan urutan dilakukan di bilik kecil yang hanya ditutup dengan tirai,” katanya.
Pemeriksaan lanjut mendapati dua lagi tukang urut wanita warga Indonesia, berusia lingkungan 30 hingga 40-an, turut berada di premis berkenaan bersama pelanggan bukan Islam.
“Mereka menawarkan urutan badan pada kadar RM60 dan tambahan RM40 untuk urut batin. Kedua-duanya tidak mempunyai permit kerja sah, sebaliknya hanya memegang pas lawatan sosial.
“Mereka juga mengaku kerap berulang-alik dari Indonesia ke Johor Bahru hampir setiap bulan untuk memenuhi temu janji pelanggan tetap,” katanya.
Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat dalam bilik sempit premis tersebut. – UTUSAN











