PETALING JAYA: Seramai 6,373 graduan pelbagai peringkat pengajian menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-49 yang berlangsung dari 29 November hingga 5 Disember ini.
Ia termasuk 771 penerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), 1,948 Ijazah Sarjana, 3,636 Bacelor dan 18 Diploma. Turut menerima ijazah adalah 1,414 graduan dalam bidang pertanian yang akan diraikan dalam Sidang Ke-2.
Jumlah tersebut turut melibatkan 556 graduan yang telah bergraduat dalam Sidang 1 Konvokesyen UPM Ke-49 Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) pada awal November lalu, menjadikan keseluruhan 6,929 graduan diraikan pada tahun ini.
Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, penghasilan graduan pertanian menjadi barisan pelapis strategik dalam memperkasa agenda sekuriti makanan negara.
Kata beliau, penghasilan dalam jumlah yang signifikan membuktikan peranan UPM sebagai peneraju pendidikan tinggi pertanian negara kekal relevan, khususnya dalam mendepani cabaran sekuriti makanan dan perubahan iklim.
“Graduan pertanian UPM bukan sahaja mahir dalam sains dan teknologi, malah dibentuk dengan nilai keusahawanan, kepimpinan serta empati komuniti. Mereka inilah yang bakal mengetuai transformasi sistem makanan negara daripada ladang hingga ke meja makan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, graduan tersebut akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan produktiviti hasil, menjamin kualiti makanan, mengurangkan pembaziran serta memastikan akses kepada makanan yang berkhasiat dan mampan.
Menurut Ahmad Farhan, kejayaan graduan turut diperkukuh melalui jaringan kerjasama strategik bersama industri agromakanan dan rakan penyelidikan.
Antara pengiktirafan diberikan termasuk Pingat Emas Doktor Falsafah Malaysian Vaccines and Pharmaceuticals kepada Dr. Tan Hui Ya (Bioteknologi Makanan) dan Hadiah Sekuriti Makanan Farm Fresh kepada Nur Aqilah Mohamad Arif, graduan Bacelor Sains dan Teknologi Makanan.
Katanya, pengiktirafan berkenaan mencerminkan kerjasama kukuh antara UPM dan industri dalam memperkasa penyelidikan, inovasi serta penghasilan makanan yang selamat dan berkualiti.
UPM turut mencatat sejarah apabila melahirkan graduan sulung bagi beberapa program baharu yang menyokong agenda sekuriti makanan dan pembangunan komuniti, termasuk lima graduan pertama Program Sarjana Reka Bentuk Makanan Fungsian dan lapan graduan pertama Program Sarjana Pembangunan Komuniti.
Di peringkat antarabangsa, UPM juga melahirkan tiga graduan Doktor Falsafah menerusi Program Ijazah Bersama dengan University of Newcastle, Australia serta seorang graduan Ph.D melalui Program Cotutelle bersama University of Paris 1 Pantheon-Sorbonne, Perancis.
Sementara itu, Tuanku Canselor UPM, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyempurnakan pengurniaan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Pengembangan kepada Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah dan pengurniaan gelaran Profesor Emeritus kepada Ahli Akademik Datin Paduka Dr. Khatijah Mohamad Yusoff.
Ahmad Farhan berkata, UPM akan terus memperkukuh ekosistem pembelajaran berimpak tinggi berteraskan penyelidikan, inovasi dan pemerkasaan masyarakat selaras dengan Pelan Strategik UPM 2021 hingga 2025.
“Cabaran sekuriti makanan, perubahan iklim dan kesihatan planet bukan lagi isu masa hadapan. Graduan UPM yang diraikan hari ini diyakini bersedia menjadi peneraju solusi sama ada sebagai penyelidik, usahawan tani, pembuat dasar atau pemimpin komuniti,” katanya.
Dengan kekuatan akademik, pengiktirafan industri dan jaringan antarabangsanya, 1,414 graduan pertanian UPM ini diyakini akan berada di barisan hadapan agenda sekuriti makanan dan kelestarian negara. – UTUSAN







