SOALAN
Bagaimana seorang isteri boleh terus kuat dan tenang apabila suami yang disayangi menjadi punca utama trauma, sedangkan hati belum mampu benar-benar reda dan melepaskan luka itu?
Isteri Kecewa.
JAWAPAN
Tidak ada yang lebih menyakitkan daripada disakiti oleh orang yang dicintai. Apabila suami yang dahulu menjadi tempat bersandar kini menjadi sumber trauma. Namun dalam segenap kesedihan itu, masih ada harapan kecil untuk kembali tenang dan memaafkan, walaupun tidak sama seperti dulu. Berikut adalah cara untuk puan lakukan:
Akui perasaan dirasai – Jangan rasa bersalah sekiranya anda masih menangis, marah atau bersedih. Itu petanda hati anda sedang berjuang. Mengakui luka tanpa menghakimi diri sendiri adalah langkah pertama untuk pulih.
Belajar mengawal emosi – Bila kenangan pahit muncul, tarik nafas perlahan dan tenangkan diri. Letakkan tangan di dada, rasakan degupan jantung dan yakinkan diri masa kini tidak lagi berbahaya. Tubuh yang pernah trauma perlu diyakinkan bahawa ia kini lebih selamat.
Terima realiti hidup – Walaupun hati masih sayang, sayang itu tidak boleh dijadikan alasan terus disakiti. Tanya diri, adakah hubungan ini membuatkan anda bahagia atau menderita? Cinta sejati bukan sekadar bertahan kerana sayang, tetapi menjaga diri agar tetap bernilai di mata pasangan.
Dapatkan sokongan – Jangan tanggung semua secara bersendirian. Cari seseorang yang boleh mendengar tanpa menghakimi anda sama ada kaunselor, rakan atau ahli keluarga. Kadang-kadang, hanya dengan didengari sudah cukup untuk meringankan beban yang lama ditanggung.
Bangkit semula – Trauma boleh membuatkan anda lupa diri. Mulakan semula dengan aktiviti yang memberikan anda ketenangan seperti berjalan di taman, membaca buku, menulis atau menikmati hobi yang disukai. Ingat, anda bukan sekadar ‘isteri kepada seseorang’, tetapi individu yang berhak hidup tenang dan dihargai.
Berdoa dan berserah – Kadang-kadang kita belum mampu memaafkan atau redha sepenuhnya dan itu tidak mengapa. Teruslah berdoa agar Tuhan beri kekuatan luar biasa, kerana doa yang lahir dari hati, walau hanya melalui air mata, tetap sampai kepadaNya.
Kekuatan seorang isteri bukan terletak pada seberapa lama dia menahan sakit, tetapi pada keberaniannya untuk terus hidup walaupun hati terluka. Tenang bermakna hati mampu bernafas tanpa rasa hancur seperti dahulu.-UTUSAN










