Kehebatan wanita buta di Kejohanan Kriket T20 Dunia

Kehebatan wanita buta di Kejohanan Kriket T20 Dunia

PEMAIN India bergambar bersama trofi selepas menewaskan Nepal dalam perlawanan akhir Piala Dunia Kriket T20 Wanita Buta 2025 di Stadium P. Saravanamuttu, Colombo, pada 23 November lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WANITA buta dari India memenangi kejohanan kriket T20 pertama dunia di Sri Lanka pada 23 November lalu, dalam satu kejohanan yang dianggap mencabar golongan cacat penglihatan.

Pasukan wanita India menewaskan Nepal dengan tujuh wiket dalam perlawanan akhir siri sulung itu, yang turut melibatkan Australia, Pakistan, Sri Lanka dan Amerika Syarikat (AS).

Adeline Roe, 18, dari Australia Selatan berkata, dia amat teruja menjadi sebahagian daripada pasukan kriket buta pertama negaranya dan berpeluang untuk melancong dan bertemu rakan sukan wanita lain.

“Sungguh menakjubkan kerana kita mempunyai Piala Dunia wanita buta… Ia merupakan satu langkah ke hadapan yang hebat untuk semua pemain kriket buta wanita.

“Saya fikir ini menunjukkan betapa baiknya penyertaan wanita dalam sukan,” katanya.

Kapten India, T.C. Deepika, turut mendapat penghargaan apabila mengetuai pasukannya bersalaman dengan pemain Pakistan selepas memenangi perlawanan liga sebelum ini.

Ketegangan di dalam dan luar padang meningkat sejak pertembungan tentera yang membawa maut antara jiran nuklear pada Mei lalu.

Pasukan lelaki India enggan bersalaman dengan pasukan Pakistan semasa Piala Asia pada September dan sejak itu tiada tanda perdamaian ditunjukkan oleh kedua-dua pihak.

FORMAT KRIKET TERPENDEK

Perdana Menteri Sri Lanka, Harini Amarasuriya yang menyampaikan trofi tersebut kepada India mengucapkan terima kasih kepada semua pemain kerana membantu meningkatkan profil golongan cacat penglihatan.

“Piala Dunia ini lebih daripada sekadar pertandingan. Ia merupakan kenyataan kolektif tentang akses, keadilan dan penyertaan wanita yang semakin meningkat dalam sukan.

“Keterangkuman mesti kekal sebagai teras merangka masa hadapan sukan negara dan serantau kita. Acara seperti ini benar-benar membolehkan kita menunjukkan keterangkuman dalam sukan,” katanya.

Kejohanan itu menggunakan format kriket terpendek, tetapi berbeza dengan pemain biasa yang menggunakan penglihatan, atlet buta bergantung kepada deria pendengaran untuk bermain.

Sebiji bola plastik putih, sebesar bola tenis, dipenuhi dengan galas bebola yang berbunyi ketika bergolek.

Pemukul mesti bertanya kepada penyerang sama ada sudah bersedia dan kemudian menjerit ‘main’ ketika bola berderak itu dihantar ke bawah lengan dengan sekurang-kurangnya satu lantunan.

Seperti dalam perlawanan kriket biasa, setiap pasukan mempunyai 11 pemain, tetapi sekurang-kurangnya empat daripadanya mesti buta sepenuhnya dan diklasifikasikan sebagai B1.

Semua pemain dikehendaki memakai penutup mata bagi memastikan keadilan.

Pemain di lapangan bertepuk tangan untuk memberitahu kedudukan mereka.

Pemain lain yang mempunyai penglihatan separa diklasifikasikan mengikut sejauh mana mereka boleh melihat, dua meter untuk B2 dan enam meter untuk B3.

Setiap pasukan boleh mempunyai sehingga lapan pemain buta sepenuhnya. Setiap larian yang dijaringkan oleh pemain B1 dikira sebagai dua.

Bagi pemain buta dari AS, Meghan Whalen, 38, cabaran lain adalah untuk menerangkan rakan dan keluarganya mengenai sukan baharu yang diceburi.

Dia mula mengenali kriket secara tidak sengaja pada bulan April, selepas menghadiri sebuah persidangan untuk golongan buta.

“Mereka membuat demonstrasi kriket dan kami berpeluang untuk mencuba memukul bola. Ia benar-benar menyeronokkan,” kata Whalen kepada AFP.

Katanya, sukan tersebut merupakan peluang untuk mencabar diri sendiri dan melihat sejauh mana kemampuan.

“Ia sangat memberi semangat apabila saya tahu saya boleh menjadi aset kepada pasukan, membantu orang lain, dan menyumbang kepada komuniti kurang penglihatan secara keseluruhan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×