Terburuk dalam tempoh 15 tahun

Terburuk dalam tempoh 15 tahun

GURU-guru, ibu bapa dan sukarelawan membersihkan lumpur tebal ekoran banjir besar di Sekolah Tengku Budriah (STB), Arau, Perlis semalam. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Banjir besar melanda negeri ini yang disifatkan terburuk sejak tempoh 15 tahun menyebabkan kemusnahan kira-kira 90 peratus Sekolah Tengku Budriah (STB) di sini.

Banjir tersebut menyebabkan sekolah berkenaan tenggelam sehingga paras dada.

Kemusnahan membabitkan bilik darjah, bilik muzik, pusat komputer, bilik guru, kantin selain pe­ralatan seperti buku latihan murid, rak buku, meja tulis serta pelbagai lagi kelengkapan serta kemudahan lain.

Utusan Malaysia yang me­ninjau kerja-kerja pembersihan oleh guru-guru, ibu bapa dan sukarelawan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis selepas ke­adaan banjir di Arau semakin surut mendapati segala kelengkapan di sekolah itu musnah selain di­selaputi lumpur tebal.

Guru Besar STB, Nor Zaitun Ibrahim berkata, tahap kemusnahan meliputi 99 peratus dengan dijangka mengambil masa dua minggu untuk kerja-kerja pembersihan selesai sepenuhnya.

Katanya, dalam tempoh tersebut, murid-murid sekolah itu akan berada di rumah bagi menjalani kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Sekolah ini, sudah tiga kali terjejas dengan banjir besar iaitu pada 2005, 2010 dan banjir kali ini yang agak luar biasa. Ketika banjir teruk di Arau sebelum ini, air sehingga paras dada dan sekolah tenggelam selama dua hari.

“Kami akan bergotong-royong membuang kelengkapan yang rosak terlebih dahulu sebelum proses pembersihan oleh bomba dengan turut dibantu Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sukarelawan dari UiTM,” katanya.

Penolong Kanan Pendidikan Khas STB, Mohd. Zulkifli Tahir,44, berkata, bangunan Program Pendidikan Khas Integrasi (PKKI) antara paling teruk terjejas.

“Kami membuang dahulu barangan yang rosak diikuti peringkat seterusnya selepas ini iaitu pembersihan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×