KUALA LUMPUR: Sebanyak 50 syarikat dan usahawan bumiputera daripada pelbagai industri menerima pengiktirafan atas sumbangan cemerlang kepada ekonomi negara.
Ia menerusi penganugerahan Bumiputera Business Excellence Awards (BBEA) 2025.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, usahawan bumiputera bukan lagi sekadar penyumbang kepada ekonomi domestik, sebaliknya telah muncul sebagai pemain penting pembangunan serantau dan global.
Katanya, perkembangan itu membuktikan ketahanan serta kemampuan komuniti perniagaan bumiputera untuk melonjak setara dengan transformasi dunia yang semakin kompetitif.
“Daripada usaha kecil di bandar-bandar sederhana sehingga menjadi syarikat berdaya saing di peringkat antarabangsa, usahawan bumiputera telah menunjukkan bahawa kecemerlangan tidak mengenal batasan.
“Pertumbuhan mereka tidak digerakkan oleh keselesaan tetapi oleh keyakinan untuk memperkukuh keluarga, membangunkan komuniti dan menyumbang kepada pembinaan negara,” katanya ketika berucap merasmikan BBEA 2025 di ibu negara hari ini.
Selain itu, Akmal Nasrullah berkata, perniagaan bumiputera kini membentuk komponen penting dalam struktur ekonomi negara dengan menyediakan peluang pekerjaan, membina industri baharu dan memperkukuh rantaian nilai domestik.
Namun di sebalik pencapaian itu, katanya, terdapat amanah besar iaitu memastikan kemakmuran dapat dikongsi secara inklusif dan pembangunan tidak mengecualikan mana-mana rakyat Malaysia.
Beliau berkata, kejayaan sektor bumiputera bukanlah persaingan bersifat menang-kalah, sebaliknya satu ekosistem yang memperkukuh kekuatan ekonomi negara.
“Apabila satu komuniti maju, seluruh negara bergerak ke hadapan bersama. Apabila perusahaan Bumiputera berjaya, Malaysia turut berjaya,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi BBEA, Datuk Dr. Muhamad Iqbal Mohamad berkata, anugerah itu mencerminkan ketabahan dan kemampuan perniagaan bumiputera yang semakin meningkat
“BBEA diwujudkan untuk meraikan, memperkasa, dan mengangkat komuniti perniagaan bumiputera.
“Dengan mengiktiraf organisasi-organisasi cemerlang ini, kami berharap dapat menyemarakkan aspirasi, menggalakkan kolaborasi, dan menyokong pertumbuhan berterusan perniagaan bumiputera di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN











