Pemilihan Setiausaha Agung PBB baharu bermula, negara anggota mahu wakil wanita

Pemilihan Setiausaha Agung PBB baharu bermula, negara anggota mahu wakil wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Proses pencarian Setiausaha Agung baharu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) secara rasmi bermula apabila negara-negara anggota diundang mengemukakan pencalonan bagi menggantikan António Guterres untuk penggal baharu pada 2027.

Dalam sepucuk surat yang dihantar kepada 193 negara anggota, kepimpinan PBB menyatakan  organisasi antara kerajaan berusia 80 tahun itu kini mencari calon yang mempunyai pengalaman luas dalam hubungan antarabangsa, diplomasi serta kemahiran bahasa.

“Jawatan Setiausaha Agung merupakan kedudukan yang amat penting dan menuntut tahap kecekapan, kompetensi serta integriti yang tertinggi, selain komitmen teguh terhadap tujuan dan prinsip Piagam PBB,” menurut surat bersama yang ditandatangani Duta Sierra Leone merangkap Presiden Majlis Keselamatan, Michael Imran Kanu, dan Presiden Perhimpunan Agung, Annalena Baerbock.

Beberapa negara anggota turut menyuarakan hasrat agar seorang wanita dipilih buat pertama kali dalam sejarah.

Pimpinan PBB dalam surat itu menyatakan rasa kesal kerana belum pernah ada wanita yang menjawat jawatan Setiausaha Agung dan menggesa negara anggota untuk memberi pertimbangan serius kepada pencalonan wanita.

Antara nama yang disebut-sebut termasuk bekas Presiden Chile, Michelle Bachelet; Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dari Argentina, Rafael Grossi; dan Rebeca Grynspan dari Costa Rica, yang kini menerajui agensi perdagangan dan pembangunan PBB (UNCTAD).

Calon perlu dikemukakan oleh sebuah negara atau kumpulan negara, serta menyerahkan kenyataan visi dan senarai sumber pembiayaan.

Tradisi PBB mengamalkan penggiliran geografi, yang menjadikan rantau Amerika Latin berpotensi untuk giliran kali ini, namun ia tidak semestinya dipatuhi setiap kali.

Surat tersebut hanya menekankan kepentingan kepelbagaian serantau tanpa menetapkan wilayah tertentu.

Calon juga berkemungkinan melalui sesi temu bual awam, satu proses ketelusan yang pertama kali digunakan pada pemilihan 2016 yang membawa kepada pelantikan Guterres.

Majlis Keselamatan dijangka memulakan proses rasmi pemilihan menjelang akhir Julai, dengan lima anggota tetap yang mempunyai kuasa veto iaitu Amerika Syarikat (AS), China, Russia, United Kingdom (UK) dan Perancis bakal memainkan peranan penentu dalam memilih calon yang akan mengetuai PBB. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×