Ramalan hujan lebat, polis gesa penduduk berpindah bila perlu

Ramalan hujan lebat, polis gesa penduduk berpindah bila perlu

ADZLI Abu Shah bertemu dengan mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Wawasan, Jitra di Kubang Pasu, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Polis meminta penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir di negeri ini untuk terus berwaspada berikutan ramalan hujan lebat yang dijangka berterusan sehingga hari ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, mereka juga perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat atau pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya diarahkan berbuat demikian.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu berlaku insiden mangsa terperangkap di kediaman ekoran lambat bertindak, sambil menegaskan bahawa keselamatan nyawa harus menjadi keutamaan.

“Mana-mana masyarakat yang terjejas banjir, dengarlah nasihat pasukan penyelamat atau agensi penguatkuasaan seperti polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kalau kata perlu pindah, segeralah berpindah.

“Tinggalkan harta-benda sebab yang penting keselamatan diri dan Insya-Allah polis akan jaga harta mereka. Saya faham kebimbangan mereka sebab nak tinggalkan harta ini bukan mudah.

“Memang kita tak ada sampai tahap hendak dakwa mangsa yang degil berpindah tapi yang terjejas itu mereka sendiri, cuma saya nasihatkan ingatlah keselamatan diri kerana harta-benda ini kita boleh bina balik tapi nyawa tiada galang ganti,” katanya selepas meninjau PPS Dewan Wawasan Jitra, hari ini.

Adzli mengesahkan, banjir yang menyebabkan seramai 3,101 mangsa daripada 1,058 keluarga di Kedah setakat ini tidak melibatkan insiden tidak diingini terutama meragut nyawa.

Malah ujarnya, 671 laporan yang diterima polis daripada mangsa juga tidak merekodkan kejadian kehilangan harta-benda, pecah rumah dan jenayah lain melibatkan kediaman terjejas banjir.

Dalam konteks keselamatan di PPS, ujar beliau, anggota polis ditugaskan selama 24 jam setiap hari bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku.

“Mereka bukan sahaja bertugas untuk menerima laporan mengenai rumah mangsa dinaiki air tetapi turut mengawal keselamatan di PPS terlibat dan mangsa boleh merujuk terus kepada anggota sekiranya ada apa-apa masalah.

“Malah, langkah kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan insentif kepada mangsa banjir terus melalui akaun bank penerima juga boleh mengelak risiko kecurian wang tunai di PPS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×