KUALA LUMPUR: Kesemua penghuni di 52 unit kediaman Blok C, Pangsapuri Taman United, Seputeh, di sini yang diarahkan berpindah susulan insiden tanah runtuh di kawasan itu telah mengosongkan kediaman masing-masing.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pemeriksaan lanjut mendapati semua penghuni mematuhi arahan pemindahan tanpa pengecualian.
“Semalam, beberapa penduduk diberi kebenaran memasuki rumah antara pukul 8 hingga 9 malam bagi mengambil pakaian serta barang keperluan penting.
“Hasil pemeriksaan hari ini mengesahkan kesemua 52 unit yang terlibat kosong sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, sebahagian penghuni memilih menumpang di rumah saudara atau berpindah ke hotel manakala terdapat unit kediaman yang tidak dapat dipastikan lokasi penghuninya berdasarkan rekod sedia ada.
“Seramai 27 penghuni memilih tinggal di hotel atau bersama ahli keluarga manakala hanya tiga keluarga berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Baki 22 unit pula tidak dapat dipastikan status penghuni dan ke mana mereka berpindah.
“Kami percaya mereka terdiri daripada warga asing yang menyewa di kawasan terbabit,” katanya.
Chang Hook berkata, kawalan keselamatan kini diperketatkan bagi mengelakkan risiko pecah rumah dan pencerobohan memandangkan kawasan berkenaan telah dikosongkan.
“Polis ditempatkan di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) untuk merekodkan setiap aktiviti selain memantau pergerakan trafik berikutan kerja pembersihan dan pemulihan sedang dijalankan.
“Kami melaksanakan rondaan berkala bagi memastikan kediaman yang ditinggalkan tidak menjadi sasaran penjenayah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerja menstabilkan cerun turut dilakukan secara serentak oleh pihak berkuasa berkaitan, termasuk pembersihan kawasan, penebangan pokok serta pemasangan kanvas pada bahagian atas cerun.
“Penutupan lapisan cerun dengan pasir dilakukan bagi mengurangkan tekanan air hujan yang boleh menjejaskan kestabilan tanah.
“Aspek teknikal keselamatan kini sedang diteliti pihak berkuasa tempatan sebelum sebarang arahan susulan dikeluarkan kepada penduduk,” katanya.
Isnin lalu, dia blok pangsapuri membabitkan 104 unit rumah di Taman United, Seputeh diarah untuk dikosongkan susulan berlaku pergerakan tanah akibat tanah di kawasan cerun di kawasan berkenaan. – UTUSAN










