PETALING JAYA: Atlet 400 meter (m) negara, Shereen Samson Vallabouy kini berlumba dengan masa untuk memulihkan kecederaan otot paha kaki kirinya memandangkan dia akan beraksi dalam empat acara di Sukan SEA Thailand bulan depan.
Shereen,27, menyatakan beliau masih belum pasti mampu pulih sepenuhnya untuk mempertahankan gelaran pingat emas acara 400m wanita.
“Dua minggu lalu saya mengalami koyakan otot sepanjang tiga sentimeter ketika latihan di Universiti Putra Malaysia(UPM).
“Kini saya sedang menjalani pemulihan intensif di Institut Sukan Negara(ISN),” katanya ketika ditemui pada Lawatan CDM Sukan SEA di Bukit Jalil.
Beliau yang memegang rekod kebangsaan 400 meter dengan catatan 51.79 saat berkata, kecederaan yang dialaminya mula menunjukkan tanda positif.
“Saya baru mula berjoging dua hari lalu dan perkembangan setakat ini positif, tetapi hanya masa akan menentukan,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan beraksi dalam acara 400m, 4x100m, 4x400m dan 4x400m campuran, Shereen berwaspada dengan keadaan badannya serta tahap kecergasannya.
“Saya akan cuba beri fokus pada acara 400 meter terlebih dahulu. Bergantung pada kekuatan kaki saya, saya akan lihat sama ada mampu menyertai acara berganti-ganti pada hari berikutnya.”
Sukan SEA edisi kali ini membuka tirai acara olahraga pada 11 Disember, dan Shereen berharap dapat mengekalkan kejuaraan emasnya meskipun berdepan cabaran kecederaan.
Ini adalah ujian sebenar buat ratu trek negara yang juga pernah meraih gangsa pada Sukan Asia Hangzhou 2023. – UTUSAN










