KUALA LUMPUR: Saksi kejadian membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu dalam keadaan berbahaya di Lebuhraya Sungai Besi menghala ke arah Taman Naga Emas, di sini sedang dikesan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya kini sedang mengesan dua individu yang turut berada dalam kenderaan berkenaan pada hari kejadian.
Katanya, turut dikesan penunggang motosikal yang merakam kejadian berkenaan bagi membantu siasatan lanjut pihaknya.
“Untuk kes trafik kami sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan dan kami sedang mengesan saksi yang berada dalam kenderaan serta penunggang motosikal.
“Penunggang motosikal itu diperlukan sebagai saksi yang melihat pemandu berkenaan memandu dalam keadaan berbahaya kerana dia merakam video berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, pemandu kenderaan itu tidak direman untuk kes trafik kerana lelaki terbabit sudah ditahan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut selepas disahkan positif ketamin, amphetamine dan methamphetamine.
Semalam media melaporkan, lelaki yang ditahan selepas didapati memandu dalam keadaan berbahaya dengan tayar belakang kenderaan itu pecah serta hancur di Lebuhraya Sungai Besi menghala ke arah Taman Naga Emas, di sini, didapati positif tiga jenis dadah.
Bagaimanapun, hasil ujian Evidential Breath Analyzer (EBA) yang dilakukan adalah negatif dan mendapati bacaan kandungan alkohol pemandu terbabit adalah 0 milogram (mg) dalam 100 milimeter (ml). – UTUSAN









