KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Digital sedang memperkukuh kerangka perundangan dan kawal selia bagi memastikan penggunaan kecerdasan buatan (AI), termasuk chatbot dan penjanaan video tidak disalahguna serta tidak mendatangkan risiko kepada pengguna.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, antara usaha utama ialah pembangunan Rang Undang-Undang Tadbir Urus AI yang sedang digubal bagi memastikan risiko AI ditangani secara menyeluruh dan mewujudkan amalan tadbir urus bertanggungjawab merentasi semua sektor.
Katanya, kerajaan turut mengukuhkan undang-undang sedia ada termasuk pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 selain meneliti keperluan pindaan terhadap Akta Keterangan 1950 dan Akta Kontrak 1950 selaras perkembangan teknologi.
“Kerajaan juga sedang menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 melalui Rang Undang-Undang Jenayah Siber yang turut merangkumi isu deepfake,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Roy Angau Gingkoi (GPS–Lubok Antu) yang memintanya menyatakan apakah usaha Kementerian untuk mengawal selia polisi dan soal etika berkenaan penggunaan kecerdasan buatan (AI) di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Gobind berkata, dari aspek teknikal, CyberSecurity Malaysia sedang membangunkan teknologi pengesahan ketulenan gambar dan video menggunakan AI bersama UKM bagi membantu siasatan jenayah siber, manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama dengan platform media sosial bagi menyekat penyebaran kandungan deepfake yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja.
Katanya, program literasi AI turut diperkasa melalui pelbagai inisiatif seperti ceramah kesedaran keselamatan siber, kursus CyberSAFE untuk masyarakat, penerbitan infografik keselamatan serta sambutan Hari Keselamatan Internet bagi meningkatkan kefahaman awam terhadap risiko AI.
Menurutnya, kerajaan juga memperkenalkan Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI (AIGE) serta Garis Panduan Pengadaptasian AI Sektor Awam yang menekankan prinsip keselamatan, keadilan, keterangkuman dan kawalan manusia (human-in-the-loop).
“MCMC turut meneliti pelaksanaan pelabelan kandungan yang dijana AI bagi membantu pengguna mengenal pasti kandungan manipulatif atau tidak sahih,” katanya. – UTUSAN










