Rakyat Malaysia terjejas banjir di Thailand dibawa pulang

Rakyat Malaysia terjejas banjir di Thailand dibawa pulang

KEADAAN banjir di kawasan luar bandar Hat Yai, Thailand masih buruk yang menyukarkan pelancong yang terperangkap untuk pulang ke Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Kerajaan menggerakkan usaha membawa pulang kira-kira 4,000 rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir di Hat Yai serta beberapa daerah lain di wilayah Songkhla, Thailand.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, maklumat terkini sedang diperoleh dari Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla bagi me­ngenal pasti rakyat negara ini yang masih terperangkap.

Katanya, koordinasi akan dijalankan bersama Kementerian Luar dan kerajaan Thailand untuk memastikan bantuan segera di­salurkan sekali gus memboleh­kan semua yang terlibat pulang ke tanah air secepat mungkin.

“Banjir dijangka surut tengah hari ini (semalam) dan kita berharap para pengunjung dapat memberikan kerjasama kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla untuk urusan membawa mereka pulang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Jelajah Wow Zoomers Agenda Nasional Malaysia Sihat bersama MyChampion Bagan Datuk di Dewan Dato’ Lope Hashim di sini semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pihaknya juga sedang menilai keperluan menyediakan ken­deraan berat bagi membawa pulang rakyat sekiranya keadaan banjir di wilayah itu semakin memburuk.

“Konsul Jeneral akan mengemaskini maklumat mengenai keadaan di sana dan (jika ke­adaan buruk) mungkin kita sediakan kenderaan berat supaya mereka dapat pulang ke kawasan masing-masing,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, beliau menasihatkan penduduk yang tinggal di lokasi berisiko banjir untuk mematuhi amaran dan berpindah tiga hari lebih awal daripada jangkaan berlaku luruan hujan luar biasa.

“Koordinasi telah dijalankan bersama Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan agensi penguatkuasaan lain agar amaran berpindah itu diberikan tiga hari lebih awal daripada jangkaan berlakunya hujan lebat dan paras air meningkat,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×