KEBERSIHAN dan keselamatan sekolah sepatutnya menjadi keutamaan semua pihak yang terlibat dalam sektor pendidikan.
Kebersihan dan keselamatan kawasan sekolah adalah amat penting untuk memastikan pelajar, guru dan staf lain dapat merasai pengalaman belajar, mengajar dan bekerja yang selesa lagi mengujakan.
Dua keutamaan ini iaitu keselamatan dan kebersihan sekolah perlu diberikan fokus setiap masa dan untuk setiap warga sekolah.
PERANAN SEKOLAH
Pihak sekolah dengan kerjasama warganya terutama guru besar atau pengetua, guru, staf pentadbiran, juruteknik, tukang kebun, pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan boleh mengadakan latihan dengan berjalan meronda di kawasan sekitar sekolah seperti bilik darjah, makmal, kantin, tandas, sistem kumbahan, surau, padang, parkir dan kawasan hadapan pintu masuk sekolah.
Mereka perlu mengenal pasti keadaan tidak selamat iaitu bahaya yang sedang dan bakal wujud. Rekodkan butirannya dan ambil tindakan segera.
Untuk menjadikan kawasan sekolah selamat, kebersihan sekolah juga perlu dijaga.
Kawasan sekolah yang banyak sampah merata-rata, wayar elektrik yang berselirat, lantai tidak disapu bersih dan licin berlumut dan bilik stor yang tidak tersusun akan mengundang kemalangan.
Pihak sekolah melalui pekerja pembersihan dan tukang kebun dengan kerjasama para pelajar, guru dan staf lain mesti menjaga kebersihan kawasan sekolah sentiasa.
Yang penting semasa kerja pembersihan dijalankan, bahaya yang ditemui perlu dihilangkan segera dan jika perlu laporkan kepada pihak atasan sekolah.
Guru besar ataupun pengetua dengan ditemani guru berkaitan perlu selalu turun padang ke kawasan sekolah meronda dan mengenal pasti bahaya yang wujud dan mengambil tindakan segera.
Dia juga hendaklah sentiasa berkomunikasi dengan para guru, pekerja pembersihan, kontraktor luar dan pengawal keselamatan yang berada di lapangan.
Aktiviti keselamatan dan kebersihan seperti latihan kebakaran, kursus keselamatan jalan raya dan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah wajar dilaksanakan dengan penuh kesedaran dan bersungguh-sungguh hingga ia menjadi amalan yang sebati bukannya setakat untuk membuat promosi murahan dalam media sosial atau bukan untuk bermegah-megah siapakah guru besar atau pengetua yang paling hebat.
Sesungguhnya perbuatan menghilangkan punca kemalangan iaitu menghilangkan keadaan berbahaya dan mencegah tindakan yang tidak selamat adalah amalan mulia dan juga sejenis sedekah yang besar pahalanya.
Jangan sesekali memandang enteng perbuatan orang yang mengambil inisiatif dengan sukarela memungut sampah, serpihan kaca, paku, tin minuman, dahan pokok, buah kelapa yang jatuh hatta membuang duri di jalan sekalipun. Semua perbuatan ini memberikan sumbangan besar terhadap keselamatan dan kebersihan tempat awam terutamanya kawasan sekolah.
Hadis Nabi Muhammad tentang ganjaran bagi orang yang menghilangkan bahaya:
“Ada seorang lelaki yang berjalan lalu menjumpai dahan berduri di jalan lalu menyingkirkannya maka dengan itu Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuninya.” – UTUSAN
PEMERHATI GEJALA MASYARAKAT










